ADUN Mahkota Tunai Janji Bina Rumah Baru Untuk Warga Emas

KLUANG, 11 Sep : Nasib seorang warga emas (Muallaf) yang tinggal berseorangan dalam keadaan serba daif berubah apabila mendapat kediaman baru yang lebih selesa dan selamat hasil sumbangan dari beberapa agensi kerajaan, NGO dan orang ramai.

jais-sarday-tunai-janji-rumahInisiatif untuk membina rumah baru Pn. Adia Mah,  tercetus hasil dari kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang, YB Datuk Md Jais Sarday ke rumah warga emas berkenaan pada awal Febuari lalu.

“Sebelum ini saya pernah datang bersama Pemuda dan Puteri, bantu mengemas rumah dan kawasan sekelilingnya..Dia tinggal berseorangan serba daif di atas tanah keluarga yang diserahkan kepadanya.

“Oleh itu, saya berazam untuk membina sebuah rumah kecil untuknya,” katanya kepada wartawan Kluang Today selepas majlis penyerahan kunci rumah di Kg Paya, Kluang, di sini.

Md Jais Sarday yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor berkata, hasil kerjasama dan sumbangan pihak NGO, agensi kerajaan dan dermawan telah berjaya mengumpul sebanyak RM40,000 bagi membina rumah berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan rumah ini telah dimulakan pada awal Mei lalu dan berjaya disiapkan pada akhir Jun 2016.

Dalam pada itu, beliau turut menyampai ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kluang, Gerakan Belia 4B Malaysia kawasan Kluang, Majlis Belia Kluang serta Pasaraya Econsave Kluang kerana telah banyak membantu merealisasikan impian bagi membina rumah terebut.

Turut hadir sama pada majlis penyerahan kunci, Saudara Md Nurhalim Md Amin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Saudari Hasni Abdullah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kluang dan Saudara Raza As’ad Rajab, Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang. –KluangToday