Cabaran Parti Hari Ini Adalah Uruskan Persepsi Rakyat Dan Pengundi – Maulizan

TEBRAU, 03 Sep – Ketua UMNO Tebrau, Datuk Hj Maulizan Bujang melihat cabaran parti hari ini adalah untuk menguruskan persepsi rakyat khususnya kalangan pengundi terhadap UMNO yang menunjangi kerajaan bersama parti-parti komponen lain di dalam Barisan Nasional (BN).

UnknownMenurut beliau UMNO daripada dulu hingga ke hari in sebenarnya tidak lekang dengan pelbagai cabaran, pelbagai konflik dan juga pelbagai masalah tetapi akhirnya parti berjaya keluar daripada semua perkara itu dan UMNO tetap kukuh hingga ke hari ini.

“Apa juga yang berlaku paling penting kita diperingkat bahagain terus fokus dan tidak berpecah. Kita sama-sama melihat kepada dasar kita…dan hari ini kita masih yakin bahawa UMNO merupakan wadah terbaik untuk orang Melayu di negara ini.

“Jadi kita ambil pendekatan bahawa perbezaan pendapat dikalangan kita tidak menjadikan ianya sebagai satu perkara yang bermasalah antara satu dengan yang lain. Kita terima pendapat berbeza namun kita letakkan kepentingan parti melebihi daripada segala-galanya.

“Kita tetap setia bersama parti untuk mendukung parti bagi menghadapi cabaran dan terus berusaha membawa parti berdepan PRU akan datang agar kita terus mencapai kejayaan di kawasan ini.,” katanya.

Maulizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram seterusnya menambah dalam usaha mengekalkan serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap parti, pelbagai pendekatan dan pelaksanaan dilakukan terhadap masyarakat Tebrau.

“Kami di sini sentiasa bersama masyarakat..bukan sebulan sekali, bukan seminggu bukan hanya pada waktu tertentu sahaja tetapi hampir setiap masa. Kita utamakan soal kebajikan ahli dan masyarakat dalam Parlimen ini. Pelbagai program diatur dan pelbagai pelaksanaan kepada penduduk setempat.

“Ini adalah salah satu cara kita untuk terus dekati masyarakat dan akan terus memberi keyakinan kepada kita,” katanya.

Tambah maulizan lagi dalam mengharungi cabaran yang cukup hebat pada hari ini, UMNO Tebrau tetap jitu dan mengambil pelbagai langkah dan pelbagai kaedah yang tersendiri.

“Kita di Tebrau dah buat pemukiman untuk sama-sama memikirkan bagaimana untuk kukuhkan kekuatan parti di akar umbi. Akar umbi cukup penting dan cadangan daripada Ketua-Ketua cawangan cukup bernas dan akhirnya pelbagai rumusan dapat dibuat dan diharap dapat kukuhkan lagi parti,” katanya.