Johor Laksana Pelan Tindakan Segera Atasi Penularan Zika – Ayub

ISKANDAR PUTERI, 2 Sept – Kerajaan Negeri Johor akan mengambil langkah segera bagi mengatasi risiko jangkitan virus Zika susulan penularan virus itu di kalangan penduduk di Singapura.

Pengerusi Jawatakuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, satu pelan tindakan mengenai langkah-langkah segera telah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Kesiapsiagaan Menghadapi Penularan Jangkitan Zika, di Kota Iskandar di sini, semalam.

c8c1bc85-2cb6-49ba-89a7-c15f5be1b4d6Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata antara langkah yang bakal diambil melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuklah mengurangkan punca pembiakan aedes ataupun source reduction dan pendidikan kesihatan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius kes jangkitan virus itu di Singapura berikutan jumlah kunjungan penduduk negara tersebut ke negeri ini dan juga jumlah penduduk Johor yang bekerja di Singapura sangat tinggi iaitu antara 200,000 hingga 300,000 orang sehari.

“Masyarakat di Johor khususnya adalah sangat terdedah kepada jangkitan virus Zika, sekiranya langkah-langkah drastik tidak diambil bagi memusnahkan sebanyak mungkin vektor pembawa virus Zika iaitu nyamuk Aedes.

“Ini dapat dilaksanakan dengan melakukan pembersihan secara intensif dan berleluasa dalam tempoh dua hingga tiga bulan yang akan datang supaya Indeks Aedes dapat dikekalkan pada paras yang paling rendah iaitu di bawah satu peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehingga kini, penyakit Zika telah merebak ke sebanyak 70 buah negara.

Singapura melaporkan jangkitan kes Zika tempatan pertama dikesan di negara itu pada 28 Ogos lalu.

Memetik laporan TODAYonline.com, jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura berkata, jumlah pesakit yang dikesan mengalami jangkitan virus Zika telah meningkat sebanyak 115 kes dalam tempoh empat hari jangkitan pertama dikesan di Singapura, 57 ialah warga asing.

Kumpulan terbesar ialah 23 orang warga China, diikuti 15 warga India dan 10 warga Bangladesh.

Sebanyak enam kes membabitkan rakyat Malaysia dan satu kes masing-masing membabitkan rakyat Indonesia, Myanmar dan Taiwan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengesahkan seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang dikenal pasti dijangkiti virus Zika selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura menjadi kes pertama wabak itu di Malaysia. –Jauhar