UMNO, Malaysia Jadi Kebanggaan, Sentiasa Dihargai Rakyat Palestin – Fatah

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Palestin melalui Parti Gerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) melahirkan rasa hormat dan bangga dengan pencapaian UMNO yang menjadi tunjang kepada pembangunan Malaysia di samping meletakkan Islam dalam asas dan tujuan perjuangannya.

Kunjungan HormatDalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, H.E. Dr Nabeel Shaath selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Suruhanjaya Hubungan Antarabangsa, Fatah memberitahu bahawa kejayaan UMNO membangunkan negara Islam dalam kelompok masyarakat pelbagai kaum amat dikagumi.

“Kejayaan UMNO menjadi pendorong bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga kepada negara-negara Islam yang juga mahukan masyarakatnya hidup rukun dan aman walaupun mempunyai pelbagai perbezaan dari segi budaya, etnik dan anutan agama.

“Nama UMNO dan Malaysia tidak asing kepada masyarakat Palestin malahan kami amat menghargai keprihatinan serta usaha-usaha dan peranan yang mainkan dalam memastikan negara kami mendapat pembelaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, sokongan UMNO terhadap perjuangan rakyat Palestin atas kebebasan dan kemerdekaan mutlak amat konsisten malahan dalam apa-apa persidangan, forum atau dialog antarabangsa pun para pemimpin UMNO sentiasa menyokong usaha tersebut.

“Tumpuan kepimpinan UMNO terhadap warga Palestin dan membela isu-isu kemanusiaan sejagat sememangnya amat penting dalam mencetuskan gerakan masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menghapuskan kezaliman.”

Dalam ucapan balasnya pula, Tengku Adnan menekankan pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dalam mempertahankan kemerdekaan negara tetapi dalam masa yang sama tidak mengenepikan bangsa lain selaku rakyat Malaysia.

“Kami juga terus berpegang teguh dengan pendirian dalam menyuarakan sokongan terhadap usaha mengembalikan hak mutlak rakyat Palestin.”

Dalam masa yang sama, Dr Nabeel berharap agar hubungan akrab antara Fatah dan UMNO dapat dipertingkatkan sebagaimana perjanjian persefahaman yang telah dilakukan sejak 2013.

Antara kandungan perjanjian tersebut adalah persetujuan dalam mencapai kata sepakat mengenai pembangunan menyeluruh pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua pihak dan bersedia untuk meningkatkan lagi hubungan atas dasar prinsip-prinsip kebebasan, kesaksamaan, saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing serta berusaha untuk menggerakkan hubungan kerjasama strategik Palestin-Malaysia selain pertukaran delegasi setiap tahun dan penglibatan golongan muda.

Kemudian, Tengku Adnan turut menerima kunjungan hormat dari Bharatiya Jana Party, India melalui H.E. Vijay Jolly selaku pemimpin senior yang hadir untuk Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP).

Lebih 82 parti politik di seluruh dunia akan berhimpun di Putra World Trade Center (PWTC) apabila Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung ICAPP kali ke-4 bermula hari ini. – UMNOOnline