Ucapan YAB MBJ sempena Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang

Ucapan YAB MBJ sempena Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 27.08.16

image1. Pada pagi yang baik ini, marilah kita semua mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Shahrir Abd Samad, Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Johor Bahru, ke mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.

2. Tan Sri, kami semua sangat berbahagia dan gembira dengan kehadiran Tan Sri. Dan saya secara peribadi sangat berterima kasih kepada Tan Sri kerana sudi menerima jemputan ini.

3. Saya juga mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran para jemputan dan yang paling penting, kehadiran para perwakilan yang terdiri daripada kepimpinan bahagian, sayap-sayap, cawangan-cawangan dan para perwakilan sekalian.

4. Pada tahun ini, UMNO Bahagian Pasir Gudang mempunyai beberapa sebab mengapa Tan Sri dijemput dan kenapa kehadiran Tan Sri ini sangat bermakna dan istimewa.

5. Pertama, kerana Tan Sri merupakan guru, pembimbing dan perintis jalan dalam perjalanan politik saya.

6. Saya tidak mungkin berada di kedudukan ini tanpa Tan Sri, yang telah merintis jalan untuk saya. Membimbing saya. Memberi pencerahan untuk saya tentang politik dan segala perjalanannya.

7. Malah Tan Sri merupakan individu yang menjadi pengaruh paling besar dalam membentuk nilai dan pendirian politik saya.

8. Jadi Tan Sri, pada hari ini, di hadapan semua Ahli UMNO Pasir Gudang. Di hadapan rakan taulan yang sangat akrab dengan saya. Saya ingin menyatakan secara ikhlas, betapa saya sangat terhutang budi pada Tan Sri. Ungkapan terima kasih pastinya jauh dari memadai.

9. Tetapi saya juga tidak mempunyai perkataan dan cara lain untuk menzahirkannya. Jadi, terima kasih dan terima kasih atas segala-galanya.

10. Kedua, sosok seperti Tan Sri lah, yang melambangkan nilai sebenar UMNO.

11. Seorang pemimpin yang berpinsip. Yang berjuang atas dasar nilai. Yang berbakti dengan ikhlas, tanpa mengharapkan ganjaran.

12. Saya boleh sahaja memanggil nama-nama besar UMNO yang lain untuk ke Pasir Gudang hari ini. Yang barangkali berpangkat tinggi, yang berjawatan penting.

13. Apatah lagi, Pasir Gudang ini, Ketua Bahagiannya adalah Menteri Besar Johor. Memang ramai tunggu dijemput untuk hadir ke mari.

14. Tetapi kami di Pasir Gudang memilih sosok yang tiada kedudukan tertinggi dalam parti. Bukan Menteri. Bukan Kepimpinan Tertinggi. Hanya seorang Ketua Bahagian.

15. Tetapi, saya ingin sekali tegaskan. Bahawa yang kita jemput ini, bukan sekadar ‘hanya seorang Ketua Bahagian’. Wibawa sosok ini, jauh mengatasi segala martabat, kedudukan, dan pengaruh mereka yang lain.

16. Ini adalah seorang Ketua Bahagian kepada daerah yang telah menjadi saksi kelahiran UMNO itu sendiri 70 tahun yang lalu!

19. Orang yang bersetia dengan parti kerana prinsip. Yang mendukung UMNO kerana ingin menjadikan Melayu dan Malaysia ini lebih baik.

20. Jadi, kami di Pasir Gudang tidak menjemput mereka yang hanya berjawatan dan berpangkat. Kami melihat lebih daripada itu. Kami mahu meminjam nilai dan keunggulan peribadi. Bukan kemegahan kedudukan dan pangkat yang tidak akan pernah kekal.

21. Lagi pun, kami di Pasir Gudang menjemput Tan Sri kerana kami ingin menghantar mesej yang sangat jelas kepada semua.

22. Bahawa mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang bukan medan semata-mata untuk tujuan meraih imbuhan politik dan liputan media.

23. Ini bukan mesyuarat untuk berucap angkuh dan melebar pengaruh.

24. Ini bukan arena untuk mana-mana pihak menjala populariti dengan laungan-laungan ikrar yang tidak bererti.

25. Tetapi, kami benar-benar mahu menggunakan peluang bertemu dalam mesyuarat ini, untuk memikir secara serius jalan ke hadapan bagi bangsa kita.

26. Biar ia menjadi pentas bersilangnya segala cetusan idea yang geliga. Serta saranan-saranan bernas yang boleh membenihkan kebaikan kepada bangsa.

27. Biar mesyuarat kita ini menjadi medan kita menimba sebanyak mungkin nasihat, teguran dan pandangan. Khususnya dari seorang tokoh seperti Tan Sri Shahrir Abd Samad.

28. Tentang bagaimana UMNO ini boleh berkelangsungan. Bagaimana UMNO Johor harus memimpin agenda perubahan. Dengan bersandarkan kepada nilai dan pegangan yang baik. Dengan khidmat yang ikhlas. Dengan persaudaraan yang tulus.

29. Bukan dengan ‘kekuasaan kewangan yang luar biasa’. Bukan dengan ketaksuban pada pangkat dan kedudukan. Bukan dengan lafaz dan ampu kesetiaan yang tidak bertempat.

30. Bukan dengan pekikan dan laungan agenda Melayu, yang pada hakikatnya hanya menguntungkan segelintir kecil orang Melayu.

31. Maka Tan Sri, pada hari ini. Kami mohon dengan penuh ikhlas dan rendah diri. Ajarlah, tegurlah dan kongsikanlah dengan kami segala nasihat dan amanat. Untuk Pasir Gudang, untuk Johor, dan untuk UMNO Malaysia.

32. Kami tidak akan berkecil hati dengan teguran yang keras. Kami bersedia untuk dibetulkan.

33. Kerana, biarlah kami segan dan malu ditegur di sini. Dari kami dibiar menjadi pemimpin yang setiap butir tutur katanya,hanya akan membusuk dan memalukan nama bangsa Melayu.

34. Berikanlah kami pencerahan. Seperti sang matahari memberi sinar dan pencerahan kepada pagi ini.

35. Kerana, tidak ada yang lebih merugikan kami, melainkan apabila hadirnya seorang yang mempunyai ketinggian ilmu dan budi seperti tuan, namun kami biarkan pulang tanpa mengutip apa-apa pengajaran.

Tan Sri, Tuan-tuan dan Puan-puan,

36. 70 tahun dulu, UMNO diasaskan dengan hanya dua tujuan yang mulia. Memerdekakan bangsa dan menjadikan bangsa Melayu itu lebih berkemajuan.

37. Kedua-dua hasrat ini lahir kerana nilai yang ada pada para pendiri bangsa terdahulu. Yakni sekumpulan mereka yang memimpin orang Melayu pada waktu itu.

38. Mereka mungkin miskin harta. Tetapi kaya dengan nilai dan prinsip. Mereka mungkin bukan bangsawan berkedudukan tinggi. Tetapi ketinggian budi dan jiwa besar mereka, menandingi nilai mahkota dan tahkta.

39. Mereka adalah pejuang Melayu yang malu hidup di bawah penjajahan. Mereka malu menjadi bangsa picisan, yang diherdik dan disergah-sergah di bumi sendiri.

40. Mereka hanya mahukan hak untuk hidup secara bebas dan bermaruah.

41. Dan kesemua keinginan, semangat dan nilai inilah yang akhirnya menyala menjadi pelita kesedaran. Yang akhirnya marak menjadi api pembakar semangat. Sehingga memberi roh kepada sebuah kebangkitan bangsa secara besar-besaran.

42. Mereka mengembleng tenaga. Mereka menggadai harta. Mereka meluangkan masa. Mereka berkorban dan tinggalkan keluarga. Mereka tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa.

43. Dan hasil daripada apa yang para pendiri bangsa terdahulu lakukan itulah yang telah menjayakan UMNO waktu itu.

44. Kita merdeka bukan kerana negara ini bersenjata. Tetapi kerana pemimpin kita berprinsip. Mereka tidak gadaikan prinsip diri dan maruah bangsa semasa merundingkan kemerdekaan.

45. Malah mereka menunjukkan jiwa yang sangat besar. Mengajak semua kaum untuk turut bersama-sama merundingkan kemerdekaan tanahair.

46. Dan sehinggalah kita merdeka, Malaysia ini tetap mereka pacu dengan nilai dan prinsip. Bukan dengan kedudukan dan pangkat.

47. Mereka turun ke desa dan segenap inci negeri. Mereka lancarkan pelbagai dasar yang tujuannya hanya satu. Mahu menjadikan Melayu dan Malaysia itu lebih berkemajuan.

48. Dan apa yang kita nikmati hari ini, ialah UMNO yang berjaya kerana ia didirikan dengan nilai dan prinsip. Bukan wang dan kuasa.

49. Dengan nilai dan prinsip yang baiklah, mereka berjaya meyakinkan seluruh rakyat untuk menyokong UMNO.

50. Dengan nilai dan prinsip yang baiklah, begitu ramai yang mendapat manfaat dan dasar yang berkebajikan untuk orang Melayu.

51. Yang telah mengundang titipan doa mereka yang soleh. Dan dengan doa-doa itulah, turun barakan dari Ilahi, menghujani Malaysia sebagai sebuah negara yang berkat.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

52. Semua itu cerita lama. Kisah dulu-dulu. Sejarah bagaimana kita bermula. Sejarah bagaimana UMNO itu berjaya.

53. Hari ini keadaannya sudah lain. Banyak yang sudah terlalu berbeza dan berubah. Malah sejak kebelakangan ini, UMNO berhadapan dengan beberapa fenomena yang sangat merisaukan. Yang amat bercanggah dengan nilai dan prinsip UMNO itu sendiri.

54. Pertama, orang Melayu sudah tidak ada lagi perasaan dan hubungan sentimental atau ‘the sentimental connection’ dengan UMNO.

55. UMNO tidak lagi mampu memukau imaginasi orang Melayu. UMNO wujud atau tidak, pada mereka, bukan perkara penting.

56. Politik Melayu, pada mereka, bukan lagi soal maruah dan tanggungjawab. Politik Melayu, pada mereka, bukan agenda hidup dan mati kelangsungan bangsa.

57. Pada mereka, UMNO bukan lagi satu-satunya wadah perjuangan dan kelangsungan bangsa Melayu yang terbaik. Mereka kini mempunyai pelbagai alternatif dan pilihan lain. Yang jauh lebih baik. Yang jauh lebih menarik.

58. Kedua, UMNO dilihat tidak menjawab masalah sebenar orang Melayu.

59. Ini adalah fenomena yang semakin ketara. Masalah UMNO hari ini adalah apabila ia dilihat, sama ada benar atau tidak, gagal menjuarai masalah sebenar orang Melayu.

60. Gagal sebagai sebuah wadah yang mengangkat kepentingan Melayu. UMNO dilihat sedang bergerak songsang. Sebab ia kelihatan seolah-olah hanya menguntungkan dirinya sendiri. Atau hanya segelintir kecil elitis Melayu. Dan bukan semua orang Melayu.

61. Ketiga, kerana peranan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa telah mula diambil alih dengan lebih baik oleh pelbagai pemegang taruh lain.

62. UMNO tidak boleh menyerahkan perjuangan hakikinya kepada orang lain. Perjuangan menjadikan bangsa Melayu dan Malaysia itu lebih baik adalah satu-satunya mandat dan ikrar UMNO. Bukannya pelbagai NGO Melayu atau mana-mana pihak lain.

63. Ketiga-tiga fenomena ini adalah ketara dan serius. Dan jika dibiarkan belarutan, ia boleh menjerumus UMNO ke dalam krisis nilai dan prinsip.

64. UMNO mesti segera sedar bahawa kesusutan nilai dirinya semakin teruk dan membarah. Dan jika tidak dibendung dengan segera, UMNO boleh tersungkur, menunggu untuk di-talkin-kan.

65. Dan jika itu berlaku, maka, wadah yang dahulunya menjadi rumah untuk semua orang Melayu ini, kelak akan hanya menjadi makam. Tanda berkuburnya sebuah perjuangan bangsa.

66. Maka kerana itu hari ini, saya menyeru agar UMNO kembali mengukuhkan nilai dan prinsip perjuanganya. Kembali kepada nilai dan prinsip yang dimiliki oleh para pendiri bangsa terdahulu.

67. Malah, kembali berpegang kepada nilai yang lebih sejagat sifatnya, yang segar zaman-berzaman. Iaitu, nilai dan prinsip yang bertunjangkan kesucian akidah dan tauhid.

68. Hanya dangan berbalik dan berpegang kepada nilai dan prinsip yang selari dengan ajaran Islam, maka kekuatan UMNO sebagai sebuah perjuangan membangun, membina dan memperkuat bangsa Melayu tidak akan lari dari landasannya.

69. Malah, nilai dan prinsip Islam ini bukan sahaja baik. Tetapi selari dan sebati dengan fikrah dan resam hidup orang Melayu.

70. Saya tidak boleh bayangkan orang Melayu tanpa agama Islam. Tidak mungkin UMNO terus relevan kepada orang Melayu jika ia membelakangkan semangat dan aspirasi Islami.

71. Sedangkan Islamlah satu-satunya pencetus revolusi minda paling transformatif kepada bangsa Melayu.

72. Sumbangan paling besar Islam kepada dunia Melayu bukan sekadar kebenaran akidah dan hukum-hakamnya. Juga bukan sekadar tradisi dan amalan ibadahnya.

73. Tetapi Islam adalah pencerahan yang telah membebaskan dan membina minda bangsa Melayu. Menjadi bangsa yang berminda terbuka, waras dan rasional. Bangsa yang menolak animisme, bangsa yang bertindak dengan akal.

74. Bangsa yang berfikir berpandukan wahyu dan sunnah, lalu berkembang dan matang, menjadi bangsa berprinsip yang sangat bertolak ansur, bersederhana serta bertoleransi.

75. Justeru, UMNO mesti terus menjadi pergerakan yang bertunjangkan Islam dan dipandu dengan prinsip-prinsip Islam yang sederhana, yang amanah, wasatiyyah dan tasamuh.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

76. Realitinya, segala masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah perubahan politik yang seharusnya menjadikan kita lebih baik. Bukannya jatuh terduduk, lemah dan tidak berdaya.

77. Naratif pegangan nilai UMNO yang saya perkatakan ini bukanlah benda baharu. Cuma ia nampaknya semakin susut dan mula dilupakan.

78. Kalau dahulu, sebelum merdeka, UMNO telah terbudaya dengan amalan politik progresif dan membina. Yang berteraskan integriti, keterangkuman dan berkeadilan. Maka sekarang ia mesti juga begitu. Ia harus kembali begitu.

79. Tetapi, pada masa yang sama, UMNO mestilah mendukung pemikiran yang berkemajuan. Di mana Agenda Melayu diberikan keunggulan dan dimensi baharu. Yang segar, seiring dengan agenda Malaysia yang semakin moden, semakin global.

80. UMNO mesti merencanakan semula Agenda Melayu yang diperjuangkannya, dengan memberikan sentuhan semasa dan kelainan. Rencana yang lebih jelas dan tersusun tentang bagaimana kita boleh meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu.

81. Atau merapatkan kesenjangan dan memberikan pemodenan dalam pemikiran orang Melayu, yang akhirnya menjurus kepada hanya satu tujuan. Iaitu melahirkan generasi Melayu Maju. Melayu Yang Berkemajuan.

82. Sudah tiba masanya, kita menulis cerita baharu, sejarah baharu. Dan semua ini, hanya akan dapat kita lakukan, dengan memperkasakan UMNO dengan visi dan citra yang juga baharu! InsyaAllah.

83. Sebab itulah, di Johor, UMNO sedang kita rejuvenasikan dengan visi dan citra baharu, yang sesuai dengan prinsip dan nilai yang melatari aspirasi penubuhannya.

Tuan2 dan Puan2,

84. Bagi mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya tegaskan. Jika UMNO ingin terus kekal relevan, UMNO mesti bergerak berasaskan prinsip dan nilai yang baik. Dan mesti serius dalam menjadikan segala nilai dan prinsip yang baik ini sebagai pegangan dalam segala tindak tanduknya.

85. Terima kasih sekali lagi kepada YB Tan Sri atas kesudian hadir bersama kami pada hari ini.

Sekian, terima kasih.