UMNO Perlu Berani Dan Jangan Bertolak Ansur Kumpulan ‘Gunting Dalam Lipatan’

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – UMNO perlu berani, tidak boleh bertolak ansur dalam menangani ancaman parti baharu, termasuk usaha mereka memujuk dan menarik ahli mahupun pemimpin-pemimpin UMNO untuk menjadi anggota seterusnya menjadi ketua Penaja parti baharu ini di kawasan mereka khususnya di Johor ini.

92c3de06-76e0-4c3b-9f94-a4f178db15c4Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azman Jaafar menegaskan, UMNO tidak boleh berkompromi dengan anasir ‘gunting dalam lipatan’ ini kerana demi survival parti khususnya dalam mempertahankan Nusajaya (Iskandar Puteri) dan Putrajaya menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Justeru tegas beliau, anasir ‘gunting dalam lipatan’ ini wajib disingkirkan sekaligus UMNO akan tampil dengan jentera yang lebih kuat, setia dan bersatu di bawah panji-panji BN.

“Kita di pihak Pemuda UMNO Bahagian, akan segera menjalankan siasatan dalam mengenalpasti mana-mana ahli khususnya di kalangan anggota Pemuda yang terlibat dalam menaja penubuhan parti baru di kawasan Pasir Gudang.

“Kita akur dengan arahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri supaya setiap bahagian melaporkan mana-mana individu di dalam parti UMNO di Johor yang terlibat dengan penubuhan parti baru iaitu parti Pribumi yang ditunjangi oleh bekas Timbalan Presiden UMNO yang telah dipecat.

“Inilah iltizam kami, menyegerakan proses tersebut dan sedang mengambil langkah pemantauan yang rapi memandangkan ada ura-ura beberapa individu daripada jawatankuasa UMNO di Johor yang dilaporkan telah terjebak dalam gerakan tersebut,” ujarnya kepada UMNO-Online mengulas usaha pihak parti baharu dalam menarik ahli di kalangan anggota UMNO dalam menaja parti mereka di kawasan-kawasan tertentu.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar golongan muda khususnya ahli Pemuda UMNO jangan terpengaruh dengan agenda parti baru ini, yang jelas asas penubuhannya lebih kepada motif peribadi yang bersifat balas dendam terhadap segelintir pemimpin UMNO dan kerajaan pada masa ini.

“Namun, jangan ambil mudah ancaman mereka ini. Kalau kita terus menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli dan pemimpin UMNO, mendekati dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, bergerak dalam satu pasukan bersama jentera kompenan BN yang lain, serta terus menambah pengundi baru serta menjelaskan dasar-dasar kerajaan yang memberikan keutamaan kepada rakyat khususnya, maka ancaman yang diberikan oleh Parti Pribumi mahupun sekutu pakatan pembangkang yang lain bukanlah satu ancaman yang berat untuk kita hadapinya kelak,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin mengarahkan UMNO Bahagian di negeri ini menyenaraikan anggota mereka yang dipercayai terlibat atau dikaitkan dengan parti baharu.

Beliau berkata ini adalah bagi memastikan bahawa perjuangan anggota UMNO di negeri ini dalam memantapkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, tidak menghadapi kecelaruan.

Mohamed Khaled berkata, terdapat nama-nama anggota UMNO di negeri ini yang tersebar menerusi laman web yang turut mendakwa mereka ini menjadi penaja atau mempromosi parti baharu tersebut.-UMNO-Online