UMNO Jangan Takut Digelar Rasis – Mohamad Hassan

KLUANG, 21 Ogos: Ahli UMNO diminta tidak takut atau bimbang jika digelar rasis kerana memperjuangkan kepentingan agama dan orang Melayu di negara ini.

14045602_1174522902611124_1476846403133683708_nAhli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berikutan asas perjuangan UMNO yang ditubuhkan bertujuan membela nasib agama dan orang Melayu.

Katanya, itu juga menjadi asas perjuangan parti komponen MCA dan MIC yang turut memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

“UMNO jangan sesekali berasa risau dan takut jika kita digelar rasis. Buat apa kita nak takut sedangkan kita hanya perjuangkan asas parti kita yang sudah termaktub sejak dulu.

“Apabila UMNO membela nasib orang Melayu dan dituduh rasis, kita terdiam, takut dan gelabah. Padahal itu asas perjuangan dan tanggungjawab parti menjaga kebajikan serta membela nasib agama dan bangsa. Jangan sampai orang Melayu meluat dengan UMNO disebabkan kita gagal membela nasib mereka kerana takut dikata rasis,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagia Kluang, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. – BH