Pemuda UMNO Pasir Gudang Bawa Usul Mahasiswa Berhutang, PTPTN

PASIR GUDANG, 19 OGOS – Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang akan mengemukakan usul menyentuh nasib generasi mahasiswa yang dibebani dengan hutang yang tinggi, sejurus menamatkan pengajian mereka.

Usul itu bakal hangat dibahaskan oleh para perwakilan pada mesyuarat tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang yang akan bersidang Sabtu ini.

imagePenolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata mahasiswa hari ini dalam dilema akibat menanggung beban hutang sebelum mereka mampu membina kerjaya.

Cabaran semasa seperti kenaikan kos sara hidup selain penawaran gaji yang rendah oleh kebanyakan majikan menyebabkan polemik itu menjadi semakin rumit di kalangan golongan muda lepasan institut pengajian tinggi.

“Nasib dan masa depan mahasiswa yang diselubungi hutang ini perlu dibela serta diberi perhatian,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sayap parti bahagian itu, di sini, hari ini

Beliau berkata mahasiswa tidak sewajarnya dibebani dengan sejumlah hutang yang besar ketika mereka baru sahaja hendak memulakan fasa kehidupan yang baharu iaitu alam pekerjaan.

Katanya, lebih memeritkan apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menyenarai hitam nama mereka yang gagal melunaskan pinjaman dengan memasukkan nama mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

“Tindakan itu dilihat tidak adil memandangkan mereka ini baru sahaja hendak memulakan kehidupan dan tindakan demikian seolah-olah menggelap dan menghancurkan terus masa depan mereka.

“Sebagai contoh, ia menjejaskan peluang mendapatkan pembiayaan kredit untuk membeli kereta bagi tujuan berulang-alik ke tempat kerja, apatah lagi untuk membeli rumah pertama mereka,” katanya.

Menurut Noor Azleen, PTPTN telah memainkan peranan serta sumbangan yang besar dalam memastikan semua golongan mampu mendapatkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian ke universiti sehingga ke peringkat tertinggi.

“Umum sedar tanpa PTPTN, tidak mungkin akses kepada pendidikan tinggi itu dapat diperluas.

“Melaluinya juga kelangsungan demokrasi pendidikan di peringkat universiti itu terus berlaku di Malaysia,” tambahnya.

Beliau menegaskan para lepasan universiti perlu dipastikan mampu memulakan kerjaya serta meneruskan cita-cita mereka tanpa sebarang beban hutang.

Usul membabitkan PTPTN itu dijangka dibawa oleh Pengerusi Biro Pendidikan dan Agama Pemuda UMNO Pasir Gudang, Roszaidi Ramlee.

Beberapa cadangan akan dibahaskan bagi mengurangkan kebergantungan mahasiswa berhutang terhadap pinjaman yang disediakan oleh PTPTN, selain penekanan soal kepentingan aspek pengurusan kewangan dan kredit yang terurus di kalangan golongan itu.

Perasmian mesyuarat sayap itu akan dirasmikan Sabtu ini oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Taman Molek, Johor Bahru.