‘Bersihkan’ Parti Dari Unsur Sabotaj – Khairi Malik

GELANG PATAH, 18 Ogos – Ketua UMNO bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A. Malik menjelaskan bahawa pihak UMNO bahagian akur dan akan segera menjalankan siasatan rapi terhadap mana-mana ahli ataupun pemimpin UMNO bahagian yang terlibat dalam menaja penubuhan parti baru di kawasan tersebut.

Ujarnya, beliau akur dan arahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri supaya setiap bahagian melaporkan mana-mana individu di dalam parti UMNO di Johor yang terlibat dengan penubuhan parti baru iaitu parti Bersatu yang ditunjangi oleh bekas Timbalan Presiden UMNO yang telah dipecat.

“inilah iltizam kami, untuk menyegerakan proses tersebut dan sedang mengambil langkah pemantauan yang rapat berkaitan beberapa individu daripada jawatan kuasa UMNO yang dilaporkan telah terjebak,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah baru-baru ini.

Beliau turut membangkitkan jasa UMNO dari sudut pendidikan yang telah membantu ribuan anak-anak Melayu menjadi golongan profesional melalui kompromi politik di dalam perlembagaan.

“Justeru itu, tidak wajar sekiranya jasa UMNO yang telah memartabatkan anak-anak Melayu di dalam sektor ekonomi dan sosial melalui pendidikan menjadikan mereka malu untuk menyatakan sokongan terhadap UMNO secara terbuka sekaligus menyeru agar UMNO terus dilindungi daripada sebarang ancaman luar dan dalam masa yang sama diperkukuhkan sokongan terhadap UMNO.

Dalam masa yang sama, dalam menghadapi PRU14, kita mahu setiap jentera kita agar mencari pengundi Gelang Patah khususnya yang berada di luar kawasan, selain mengerakkan pendaftaran pengundi baru dan usaha untuk mendekati pengundi sedia ada berdasarkan kajian sikap,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Keahlian Dan Daftar Pengundi UMNO Negeri.

Beliau turut menyeru agar UMNO Bahagian Gelang Patah khususnya untuk bekerja keras mempertahankan satu-satunya DUN yang masih dikuasai oleh UMNO iaitu DUN Nusajaya pada PRU14 nanti selain berusaha untuk mengembalikan semua kerusi Parlimen Gelang Patah serta DUN Skudai kepada BN.