UMNO Bukan Dilahirkan Daripada Kebencian, Kekecewaan – Najib

JELEBU, 13 Ogos  — UMNO bukanlah parti yang dilahirkan daripada perasaan benci, kekecewaan atau atas dasar menolak pemimpin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

13921193_10153697229705952_3979114525945449241_nBeliau berkata sebaliknya, UMNO adalah parti suci yang dilahirkan di tangga Istana Besar di Johor dengan gema semangat nasionalisme untuk menolak penjajah dan bangkit daripada roh orang Melayu yang mahu membela martabat dan maruah.

“UMNO tidak lahir di atas kebencian, UMNO tidak lahir di atas kekecewaan, UMNO tidak lahir kerana mahu menolak pemimpin lain. Kalau itulah jadi asas perjuangan kita, maka, apa-apa yang kita lakukan bukanlah bertunjangkan idealisme dalam perjuangan yang berpaksikan kepada sesuatu yang mulia dan suci.

“Tidak ada satu wadah perjuangan yang jelas, hanya sekadar marah, benci dan cita-cita peribadi yang tidak kesampaian maka perjuangan itu tidak bertahan lama,” katanya semasa berucap merasmikn Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu dan Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di Stadium Mini Kuala Klawang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua UMNO Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana parti politik yang dibangunkan atas sifat-sifat sedemikian, tidak dapat bertahan lama.

“UMNO boleh menjadi teras kepada kepimpinan negara kita kerana kita berdiri atas perjuangan idealisme yang teruji, bertahan sejak sekian lama dan terbukti membawa negara kita kepada kejayaan. Dalam apa jua era dan krisis, kita telah berjaya melalui krisis itu.

“Sama ada kita melawan komunis, berdepan zaman kemelesetan ekonomi, UMNO boleh bertahan kerana kita mempunyai wadah perjuangan yang lahir ditengah-tengah semangat untuk membela martabat dan maruah kita dan hari ini dunia melihat Malaysia berjaya,”kata beliau.

Mengulas lanjut, Najib berkata rakyat juga tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai hiburan atau menjadikan satu dua akhbar antarabangsa sebagai panduan.

“Rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar, kita lebih sayang kedaulatan negara kita,”katanya.