Piala Malaysia: JDT Nyalakan Harapan

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Biarpun bermula agak perlahan dalam Kumpulan C, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berpeluang mara ke suku akhir Piala Malaysia setelah menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos hari ini.

13901313_667262763437026_3587497370071498462_nPada perlawanan kedua ter­akhir peringkat kumpulan itu, penyerang Amri Yahyah meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kedudukan selasa dengan ledakan dua gol pada minit ke-23 dan ke-29.

PDRM bagaimanapun memperoleh gol kontroversi pada penghujung perlawanan apabila jaringan Guilherme De Paula ha­sil hantaran Amir Saiful Baderli terlebih dahulu terkena tangan K. Reuben ketika dalam kawalannya.

Bersambung separuh masa kedua, pemain sayap Mohd. Nazrin Mohd. Nawi menambah dua lagi gol pada minit ke-53 dan ke-60, sekali gus memberi nafas kepada JDT untuk terus hidup dalam Piala Malaysia.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan C, hasrat Perak untuk mengesahkan diri ke suku akhir lebih awal tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada PKNS di Stadium Shah Alam.

Bos Gaurus berada di depan pada minit ke-27 menerusi kapten Shahrul Saad setelah menanduk masuk sepakan percuma.

Bagaimanapun, gol pembukaan tersebut dibalas dengan dua jaringan Red Ants masing-masing menerusi Juan Manuel Cobelli pada minit ke-51 dan Matias Hadwa (minit ke-81).

Di Stadium Darul Aman, gol tunggal Abdoulaye Maiga pada minit ke-57 sudah cukup untuk Terengganu FC II menang 1-0 ke atas Kedah, sekali gus mengekori jejak langkah Lang Merah ke suku akhir daripada Kumpulan A.

Di Stadium Negeri, Sarawak dan JDT II masing-masing sekadar memungut satu mata saguhati setelah seri 1-1, yang menyaksikan laluan ke suku akhir dalam Kumpulan A sudah pun tertutup buat mereka. – Utusan