Penganjuran Bersih 5.0 Hanya Mahu Capai Matlamat Individu

SEKIJANG, 10 Ogos – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, cadangan pembangkang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan Bersih 5.0 hanyalah merupakan matlamat untuk individu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Nuar ManapJelasnya, penganjuran demonstrasi ini hanya akan memburukkan lagi nama baik Negara ini di mata antarabangsa dan sekaligus boleh mengganggu-gugat perkembangan ekonomi Negara.

“Saya tidak faham mengapa mereka masih mahu menggunakan jalan raya sebagai lokasi. Jika niat mereka betul, apa salahnya stadium atau tempat lapang dipilih tempat mengadakan himpunan.

“Mereka ini hanya pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak kepada Negara. Yang bakal menjadi mangsa adalah rakyat juga.

“Oleh itu saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas kepada penganjur perhimpunan haram ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Anuar, mereka ini hanya mempergunakan rakyat semata-mata mahu mencapai agenda peribadi di dalam politik.

Pengerusi badan reformasi pilihan raya Bersih Maria Chin Abdullah baru-baru ini mengesahkan satu perhimpunan sedang dirancang susulan perkembangan terbaru dengan saman sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat serta tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) AS yang mahu merampas aset dibeli dengan dana didakwa dipesongkan daripada 1MDB.