Ahli UMNO Mesti Teruskan Bersatu, Muafakat …. Jangan Hilang Fokus – Fahariyah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos ­– Ahli-ahli UMNO di seluruh negara harus menjadikan platform Persidangan UMNO di peringkat bahagian bermula 1 Ogos ini,   sebaik mungkin untuk semua ahli melahirkan pandangan, pendapat mahupun kritikan berguna demi memperkukuhkan parti sekaligus memperkemaskan muafakat sesama ahli.

Co59X-1WAAA0FT1Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Fahariyah Md Nordin turut menyeru kepada semua ahli UMNO khususnya ahli Puteri supaya jangan hilang fokus dalam perjuangan parti terutamanya dalam usaha UMNO dan BN mengekalkan momentum untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Gunakanlah sebaiknya platform Persidangan UMNO di bahagian masing-masing, yang bakal bermula bulan hadapan, kita harus terus bersatu dan tidak sesekali berhenti berjuang. Kita harus terus mempertahankan UMNO apatah lagi Johor adalah negeri kelahiran parti keramat ini.

“Ia (UMNO) telah dibentuk dan dibesarkan di negeri ini. Jika UMNO Johor lemah maka inilah kejayaan besar bagi pembangkang. Oleh itu UMNO harus terus dijaga, dibelai dan diperkukuhkan oleh ahli UMNO itu sendiri. Inilah amanah besar untuk digalas oleh semua ahli,” ujarnya yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang.

Dalam masa yang sama kata beliau lagi kepimpinan tertinggi UMNO juga harus mendengar suara hati rakyat dan ahli-ahli UMNO itu sendiri agar segala pandangan, saranan mahupun kritikan yang diterima daripada Persidangan UMNO Bahagian itu nanti dapat membuahkan hasil yang baik kepada parti, bangsa dan tanahair.

“Dengan pelbagai isu yang timbul dan melanda parti, tidak dapat dinafikan ada segelintir ahli mula berasa keliru dan goyang hatinya. Kerana itulah mesyuarat bahagian ini penting untuk dihadiri oleh ahli terutama golongan muda.

“Jadi kita akan dapat memberikan pandangan dan suara anak muda akan difahami kerana zaman kini adalah zaman generasi pelapis,” ujarnya. –UMNOOnline