Pemuda UMNO Johor Selar Tindakan Perlekeh Dan Hina Hasrat Bersara Pemain JDT

LEDANG, 26 Jul – Naib Ketua Pemuda UMNO negeri Johor, Sahrihan Jani menyelar tindakan segelintir masyarakat yang memperlekeh dan menghina hasrat empat pemain skuad bolasepak JDT yang ingin bersara.

Jelasnya, hasrat tersebut seharusnya dipandang positif dan dihormati kerana mereka telah sekian lama menabur bakti dalam dunia bola sepak Negara.

Unknown-7“Saya yakin mereka tahu tahap diri mereka dan bila masanya untuk mereka bersara. Lagipula Negara mempunyai Liga Bolasepak Profesional yang pastinya menyediakan pelapis pemain berkualiti yang mampu menggalas tugas negara pada bila-bila masa.

“Pandangan negatif yang dilemparkan seolah-olah menunjukkan skuad negara hanya bergantung kepada sekolompok pemain yang terus-terusan dikerah kudrat dan ditagih komitmen… dihina dan dikeji apabila gagal melaksanakan misi. Sikap sebegini harus dibuang demi kemajuan dunia sukan,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Sahrihan, Pemuda UMNO Johor juga merasakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji semula pengurusan skuad kebangsaan serta program pembangunannya yang dilihat tidak memberi apa-apa impak terhadap perkembangan bolasepak negara.

“Pendedahan DYMM Tengku Mahkota Johor tentang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa di dalam FAM adalah suatu yang sangat serius dan FAM disaran menubuhkan pasukan bebas untuk mula menyiasat dan mengambil tindakan yang perlu berdasarkan perlembagaan FAM dan undang-undang negara.

“Jika ini gagal dilakukan maka bukanlah empat orang pemain ini yang perlu dipersalahkan tetapi FAM merupakan ‘pembunuh’ kepada pembangunan dan peningkatan bolasepak negara.

“Janganlah FAM melihat pendedahan Tengku Mahkota Johor sebagai sesuatu yang mahu menjatuhkan mereka tetapi pandanglah dari sudut positif demi kemajuan sukan bola sepak,” katanya.