Kertas Cadangan Skim Insurans Pekerjaan Sedia Untuk Dibentangkan

KULAI, 19 Julai — Kertas kabinet mengenai cadangan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) yang membantu pekerja setelah diberhentikan, akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan bagi mendapatkan kelulusan kerajaan.

Datuk-Seri-Richard-Riot-JaemMenteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata skim itu yang memerlukan pekerja dan majikan mencarum sepertimana yang diamalkan ke atas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), penting untuk memastikan pekerja mampu bertahan sekurang-kurangnya empat bulan, sebelum mendapat pekerjaan baharu.

“Ia mesti dilakukan kerana jika sesebuah syarikat tidak mampu membayar gaji pekerjanya selepas diisytiharkan bankrap, kita (kementerian) tidak boleh hendak memaksa mereka membayar.

“Contohnya dalam kes syarikat penerbangan Rayani Air, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara yang hanya boleh dilakukan ialah memfailkan kes tersebut di Mahkamah Industri,” katanya.

Riot berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pertemuan dengan 300 warga Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Selatan di sini Selasa.

Beliau berkata EIS yang bakal memanfaatkan seramai 6.5 juta pekerja di negara ini, secara dasarnya sudah pun dipersetujui oleh kebanyakan majikan berdasarkan pertemuan pihaknya bersama syarikat-syarikat perniagaan.

Menurut beliau, EIS dicadangkan selepas kementerian dengan serius menghantar beberapa pegawainya ke luar negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Thailand serta Vietnam untuk mempelajari sistem yang boleh membantu pekerja sekiranya hilang pekerjaan.