Projek Pamer Beroperasi Secara Rasmi Hari Ini

KOTA TINGGI, 18 Julai — Fasa pertama Projek Air Mentah Rapid (PAMER) yang dibina dengan kos melebihi RM1 bilion di sini, telah memulakan operasinya secara rasmi hari ini.

Pengoperasian dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled di tapak projek itu di Empangan Seluyut, di sini.

13767202_1463221713703572_3939020668079090306_oTurut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Md Arif Mahmood.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad dan pengarah projek PAMER Syed Mohd Kamal Al-Habshi Syed A Rahman juga hadir.

PAMER merupakan satu daripada enam komponen pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang dimajukan dalam kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Ia mula dilaksanakan sejak 2014 dan berkemampuan menyalurkan sebanyak 260 juta liter air sehari dengan 230 juta liter air dibekalkan ke PIC manakala selebihnya disalurkan ke Empangan Sungai Lebam, di sini untuk kegunaan awam.

“Secara prinsipal, PAMER telah pun mula menyalurkan bekalan air ke Empangan Sungai Lebam sejak Mac lalu manakala penyaluran bekalan ke PIC pula akan bermula pada suku keempat tahun ini,” kata Md Arif dalam ucapan pada majlis itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Khaled berkata pihaknya gembira kerana projek tersebut beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.

“PAMER adalah fasiliti pertama dalam PIC yang telah berjaya disiapkan. Ia merupakan usaha dan jaminan kerajaan negeri bahawa kita tidak akan berhadapan dengan masalah air di kawasan Kota Tinggi, sekali gus turut menolak andaian yang kononnya projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak Petrokimia (RAPID) Pengerang akan mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Mohamed Khaled berkata buat masa ini, pihaknya tidak melihat keperluan untuk melaksanakan fasa kedua projek itu memandangkan kapasiti pengeluaran air sekarang sudah mencukupi bagi semua pihak.

“Bagaimanapun, jika ada pun perancangan, ia hanya babitkan pengembangan (empangan) dan ia bergantung kepada keperluan semasa,” katanya.