Tubuh Pakatan Baharu, Tindakan Terdesak – Shahrir

JOHOR BAHRU 17 Julai – Pakatan pembangkang baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai satu tindakan terdesak un­tuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, mereka merupakan kumpulan oportunis yang akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ci­ta-cita tercapai dengan peluang dan kesempatan yang ada.

da001eac-72f1-4e36-97ce-a5f778421ed2“Apa sahaja yang dapat dipaut (dilakukan) akan dipautkan (akan dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan BN), maknanya bukan satu perjuangan politik dengan dasar yang konsisten atau berprinsip, mana yang sempat itu yang dia ambil.

“Macam sampah yang terkum­pul, satu hala sahaja tapi dia pel­bagai jenis. Tidak membawa perjua­ngan yang konsisten, ini­lah yang rakyat Malaysia perlu berdepan senario berterusan dari dulu semata-mata mahu gulingkan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Rumah Terbuka Aidilfitri Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Puan Sri Shahrizan Abdullah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1, Jalan Kebun Teh, di sini, semalam.

Shahrir mengulas pengumuman Dr. Mahathir kelmarin mengenai penubuhan pakatan pembangkang baharu yang akan dianggotai parti-parti politik pembangkang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Dr. Mahathir, pakatan berkenaan akan disertai DAP, PKR, PAN serta sebuah parti baharu yang akan ditubuhkan oleh beliau dalam waktu terdekat de­ngan matlamat utama untuk menewaskan BN dalam PRU-14.

Shahrir bagaimanapun berkata, BN tidak memandang rendah pakatan baharu yang bakal ditubuhkan itu atau mana-mana gerakan politik yang menentang kerajaan sebaliknya sentiasa siap sedia dan akan mempertahankan perjua­ngan sedia ada.

Beliau berkata, DAP kini menggunakan bekas Perdana Menteri itu sebagai formula untuk menawan Putrajaya selepas usaha parti pembangkang berbuat demikian gagal bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerusi Deklarasi Rakyat sebelum ini.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, perjuangan pakatan baharu itu tidak sama seperti BN yang berkongsi kuasa melibatkan semua negeri di pe­ringkat Persekutuan dan memen­tingkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa. – Jauhar