Jayakan Program Amal Melalui Yayasan

PASIR GUDANG, 11 Jun – Kerajaan Negeri menyeru pihak syarikat dan industri untuk menyalurkan sumbangan atau bantuan amal yang hendak dijalankan melalui yayasan-yayasan yang telah ditubuhkan di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan bantuan tersebut benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

image-5-900x675Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana yayasan mempunyai pengisian yang lebih tersusun dan berkesan, malah Kerajaan Negeri sememangnya memberi penekanan terhadap usaha-usaha kebajikan membantu masyarakat samada secara langsung atau melalui dasar-dasar kerajaan dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Yayasan memainkan peranan yang sangat penting kerana terdapat banyak pihak yang ingin membantu tetapi kadang kala mereka mengalami kekangan masa untuk melakukan program-program tanggungjawab sosial ataupun mereka tidak tahu saluran menyampaikan sumbangan, jadi di sinilah peranan yayasan.

“Contohnya seperti Yayasan Pasir Gudang (YPG), kita tidak hanya menjalankan program bantuan keperluan asas tetapi juga menjalankan aktiviti yang mengupayakan masyarakat melalui program seperti latihan kemahiran, pendidikan, dan rekreasi yang tertumpu kepada golongan belia supaya mereka tidak tercebur ke dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan & Bantuan Hari Raya Aidilfitri daripada YPG di Dewan Serbaguna, Jalan Riang, Taman Nusa Damai, hari ini.

Tambah beliau, “Yayasan berperanan penting dalam merangka dan merancang aktiviti-aktiviti yang dapat membangunkan masyarakat, kita tidak mahu orang melihat kemajuan negeri kita dari segi infrastruktur sahaja, tetapi kemajuan masyarakat kita diabaikan.

“Untuk program ini kita telah memberi peruntukan sebanyak RM100,000 yang akan memberi manfaat kepada 500 orang penerima dimana 300 orang akan menerima bantuan pada hari ini dan selebihnya pada 26 Jun nanti.

Sumbangan diberikan kepada 300 orang golongan yang memerlukan dan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum termasuk warga Sabah dan Sarawak yang tinggal di 11 zon pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang berada di bawah Parlimen Pasir Gudang.

Setiap penerima menerima sumbangan bernilai RM200 dimana RM100 diberikan secara tunai dan selebihnya dalam bentuk keperluan asas.

Menurut Khaled, yang juga merupakan Pengerusi YPG, setiap tahun pihak yayasan itu menerima sumbangan sebanyak 1% daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) iaitu kira-kira sebanyak RM600,000.

“Pada tahun ini jumlah sumbangan daripada pihak industri kepada YPG adalah sebanyak RM1.4 juta, tahun 2015 kita terima sebanyak RM1.5 juta dimana sebanyak 50% daripada jumlah yang diterima wajib dibelanjakan bagi tujuan bantuan kepada masyarakat. Ini merupakan syarat penubuhan sesebuah yayasan.

“Sumbangan ini akan kita belanjakan dengan sebaiknya melalui program-program yang kita ada seperti lapan kelas tuisyen, program menjayakan masyarakat orang asli, kelas kemahiran masyarakat India dan lain-lain program yang kita rasakan boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Tambah beliau lagi, pihak YPG turut memberi bantuan berupa subsidi tambang bas sekolah dan program Smart Food My Kasih di mana setiap penerima mendapat RM90 setiap bulan untuk membeli barangan keperluan harian yang melibatkan 3,000 penerima berdaftar dengan YPG. – JAUHAR