Tiada Halangan Laksanakan Caj VEP 16 Julai Ini – Hasni

JOHOR BAHARU, 8 Jun  — Tiada halangan atau kekangan yang boleh menjejas pelaksanaan dan penguatkuasaan penuh Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) apabila bayaran mula dikenakan 16 Julai ini.

johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sistem itu kini melalui proses percubaan sehingga 15 Julai ini untuk melihat keberkesanannya ke atas kenderaan negara jiran.

“Selepas beberapa kali ditangguh, kita telah mengaktifkan sistem caj ini sejak 1 Jun lalu bagi tujuan percubaan tetapi pemandu dari negara jiran belum lagi dikenakan caj RM20.

“Kita juga melihat pemandu dari negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengikuti prosedur dan langkah-langkah ditetapkan,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Amal Ramadan Skuad Muda 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di perkarangan surau Al-Hidayah JPJ malam ini.

Hasni berkata setakat ini, sebanyak 120,000 kenderaan asing telah berdaftar dengan VEP, walaupun tempoh pendaftarannya secara talian telah dilanjutkan hingga akhir tahun bagi mengelakkan kesulitan.

“Jadi, saya tidak nampak sebarang masalah akan berlaku memandangkan kita juga ada tempoh masa yang cukup untuk mendaftarkan kenderaan,” katanya.