Proses Permohonan dan Pemilihan RMMJ Telus – Latif Bandi

ISKANDAR PUTERI, 8 Jun – Kerajaan Negeri hari ini menegaskan bahawa segala isu dan tuduhan yang dibangkitkan berkenaan permohonan dan pemilihan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) adalah tidak benar sama sekali.

IMG_4376-900x600Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata semua proses penawaran rumah mampu milik yang dikeluarkan adalah mengikut saluran dan kaedah yang telus.

“Kerajaan Negeri tidak pernah melantik mana-mana agen untuk menjadi orang tengah bagi menjalankan urusan berkaitan proses perumahan.

“Semua urusan permohonan dijalankan secara terus kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan.

“Justeru, saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai salah laku serta salah urus tadbir yang menyebabkan rasuah dan penyelewangan dalam proses permohonan RMMJ untuk tampil membuat laporan kepada pihak Polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Pejabat SUK Perumahan, Kota Iskandar di sini, hari ini, bagi mengulas mengenai isu dan tuduhan berkenaan Isu Permohonan dan Pemilikan RMMJ, yang viral di media sosial.

Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan, Rafi Abdullah dan Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan, Fairuzahri Jalaluddin.

Katanya, dari tahun 2013 hingga Jun 2016, sejumlah 106,649 permohonan baru (yang masih menunggu) telah diterima.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 21,595 sijil layak menduduki telah ditawarkan kepada penerima.

“Jumlah itu juga dijangka akan dapat dipertingkat secara berperingkat menjelang tahun 2019/2020 apabila kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 60,000 unit RMMJ akan siap dibina di seluruh negeri Johor.

Menurut Abd Latiff, terdapat beberapa syarat dan prosedur baru yang telah diperkenalkan dalam Sistem Perumahan Johor (SPJ) mulai tahun 2015.

“Pemohon hanya perlu memastikan semua maklumat lengkap diisi semasa menghantar permohonan secara online dan proses akan disaring berdasarkan sistem merit yang mengambil kira semua maklumat seperti gaji, tanggungan, status dan jumlah pendapatan keluarga.

“Bagi permohonan yang mendapat merit tinggi dan dikategorikan layak, SUK Bahagian Perumahan akan menghubungi pemohon dan perlu tampil untuk serahan dokumen.

“Jika semua dokumen lengkap dan tepat, Sijil Penawaran akan dikeluarkan dan caj RM10.00 akan dikenakan bagi satu sijil tawaran yang dikeluarkan, seterusnya pengesahan akan dijalankan dan penentuan Lot/PTD akan dibuat secara automatik melalui sistem,” katanya.