Ajak Golongan Muda Renung Kembali Perjuangan, Lebih ‘Ikhlas’ Berjuang – Veteran UMN0

JOHOR BAHARU, 10 Mei – Semangat perjuangan anggota UMNO dahulu yang lebih ‘ikhlas’ perlu dicontohi oleh golongan muda terutamanya pelapis pemimpin akan datang dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini sekaligus memastikan survival parti keramat itu.

Menjelang ulang tahun ke-70 UMNO pada 11 Mei, tentunya perjuangan anggotanya dari zaman penubuhan parti yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar itu berbeza likunya dengan masa kini.

5e587ed9-ab22-4fbe-9d6b-e38da5764911Bagi seorang veteran UMNO Johor, Salikin Nasir, 77, semangat perjuangan di kalangan UMNO pada zaman dahulu bukan sahaja begitu menebal malah semua anggota pada waktu itu bekerja bersungguh-sungguh demi parti dan membela nasib orang Melayu sendiri.

“Suasana zaman itu sangat berbeza dengan sekarang. Semua orang bekerja dalam parti dengan penuh bersemangat termasuk sama ada ketika berkempen mahupun menyambut kemerdekaan,” katanya yang menganggotai UMNO sejak zaman kepimpinan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Salikin yang mesra dipanggil Haji Salikin merupakan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Lubok, Semerah dekat Batu Pahat pada sekitar tahun 1950-an.

Bekas guru yang bersara pada 3 Jan 1994 itu masih aktif dalam UMNO dan menjawat Ketua Cawangan Semerah Darat, UMNO Bahagian Parit Sulong.

Mengimbas semula perjuangan zaman tersebut juga, Salikin ketika dihubungi Bernama baru-baru ini menegaskan tidak ada berlaku perebutan jawatan dalam parti pada ketika itu memandangkan sikap semua anggota yang bekerja dengan penuh tanggungjawab.

“Dulu kita tidak terfikir untuk mahukan jawatan dan apabila ada orang mencadangkan kita menjadi perwakilan, kita juga tidak mudah menerimanya. Zaman sekarang, hendak jadi perwakilan, kita menawarkan diri sendiri. Itulah bezanya dahulu dan kini.

“Tetapi, zaman dahulu, apabila sudah kena pilih, kita terima dengan terbuka dan bersemangat untuk pergi ke Perhimpunan Agung UMNO walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri,” katanya.

Menurut Salikin, beliau pernah menyewa kereta dan menumpang di rumah rakannya di Jalan Gurney (Jalan Sultan Yahya Petra), Kuala Lumpur semata-mata untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Malah ketika menjadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lubok di sekitar 1960-an, beliau juga pernah menaiki bas beramai-ramai untuk mengikuti Kursus Tahan Lasak Pemuda UMNO Johor di Morib, Selangor.

Pesannya kepada anggota UMNO dalam menghadapi cabaran pada masa kini, Salikin yang memiliki seorang isteri, Asmah Kemat, 71, dan dikurniakan enam anak serta 19 cucu, berkata semua pihak perlu berbalik kepada pegangan al-Quran dan pesanan Nabi Muhammad SAW.

“Kalau kita berbalah, kita kena berbalik semula kepada pegangan al-Quran dan pesanan nabi. Dahulu memang kita buat kerja bersungguh-sungguh. Tidak timbul juga perkataan ikhlas.

“Tetapi sekarang saya lihat perkataan ikhlas itu terlalu dipromosikan. Disebabkan ada sesetengahnya yang dikatakan menyertai UMNO kerana semata-mata mahu mengejar jawatan dan kekayaan, maka, ada sesetengahnya turut terpalit walaupun mereka sebenarnya tidak berniat melakukannya,” katanya.

Demi memastikan kelangsungan UMNO, Salikin yang kini sering membantu Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad mengatur pelbagai program di kawasan tersebut berharap golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir yang boleh melemahkan parti.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Johor sekitar 1980-an Datuk Nasir Safar pula berkata semua anggota UMNO harus bersedia menghadapi apa juga rintangan terutamanya apabila parti itu berdepan fitnah dan perbezaan pendapat pada masa mendatang.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai itu berkata langkah itu penting bagi memastikan parti terus berdiri lebih kukuh dan berjaya membawa perjuangan asal tatkala Malaysia hendak menjadi sebuah negara maju.

Katanya apa sekalipun fitnah yang ditaburkan sesetengah pihak terhadap kepimpinan parti, anggota harus berfikir secara bijak dan rasional bagi memastikan mereka tidak menggadai parti dek kerana pengaruh dan sentiment negatif.

“Sebagai contoh, ada orang kata presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) terlibat dalam kepincangan. Tetapi saya kira beliau tidak kerana UMNO masih sama cuma hanya cara pengurusan yang berlainan.

“Pemikiran Najib adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan tidak meninggalkan perjuangan parti yang antaranya ialah menjaga kepentingan masyarakat Melayu,” kata Nasir.

Katanya Najib telah mengurus negara ini melebihi had sebuah Negara membangun tetapi pada masa yang sama menggunakan pendekatan sistem demokrasi dalam pengurusannya. – UMNOOnline