KERIS 2314 : Tanam Jati Diri Perjuangan Kepada Lebih 20,000 Ahli UMNO

PUTRAJAYA, 9 Mei – Lebih 20,000 anggota UMNO telah menjalani latihan atau kursus ‘KERIS 2314’ sejak modul baharu melahirkan pelapis
kepimpinan itu diperkenalkan pada November 2014, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata selain persediaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), modul itu diperkenal bagi memberi latihan semula kepada anggota parti mengenai sejarah perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR / SAMBUTAN HARI UMNO KE 70“Yang penting, kita hendak tanamkan semula nilai-nilai perjuangan di dalam jiwa pendokong parti khususnya dalam kalangan belia, yang kini berhadapan dengan cabaran berbeza berbanding waktu dahulu,” katanya pada sidang media sempena Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya di sini, hari ini.

Modul latihan itu diumumkan oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, bagi menangkis onar pembangkang.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata bagi memastikan semangat perjuangan dan kesepaduan terus kukuh dalam kalangan anggota UMNO, parti itu akan melaksanakan fasa kedua latihan ‘KERIS 2314’ dengan fokus terarah kepada melahirkan pelatih.

“Kita menyasarkan untuk melatih 10,000 anggota UMNO yang mana mereka ini kemudiannya akan mengembangkan latihan dan modul yang dipelajari kepada anggota lain, umpamanya anggota yang baharu disahkan keanggotaannya,” jelas beliau.

Tengku Adnan berkata anggota baharu UMNO perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai Perlembagaan UMNO, memahami cogan kata dan lagu rasmi parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang diyakini mampu menjadi benteng dalam mengelak permasalahan seperti perbuatan menentang parti yang berlaku kini.

Untuk rekod, akronim KERIS membawa maksud Karisma, Ehsan, Rasional, Iltizam dan Setia manakala angka 23 dalam ‘KERIS 2314’ itu membawa maksud sasaran BN untuk menebus kembali jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat selepas gagal memperolehnya pada dua PRU sebelum ini.

Mengenai tanggapan bahawa angka 70 menunjukkan parti itu semakin tua dan boleh pupus, Tengku Adnan berkata UMNO melihatnya dari aspek positif iaitu panjang umur atau matang.

“Saya percaya lebih lama parti ini, lebih matang ia untuk bergerak membangunkan negara dan membantu rakyat,” katanya. – UMNOOnline