MAINJ Sasar Bina 1,000 Rumah Transit MAINJ Menjelang 2018 – Abdul Mutalip

JOHOR BAHRU, 05 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, YB Abdul Mutalip Abd Rahim berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) mensasarkan pembinaan 1,000 unit Rumah Transit MAINJ sehingga menjelangnya 2018.

Menurut beliau Rumah Transit MAINJ merupakan program bantuan penempatan sementara golongan fakir dan miskin yang tidak berkemampuan menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk diri dan keluarganya.

unnamed-2“MAINJ mempunyai dua kaedah pembinaan iaitu pertamanya akan dilaksanakan di dalam bandar dan pembinaan yang dibuat di luar bandar. Buat masa ini di dalam bandar khususnya kita telah membeli beberapa buat unit di Taman Cendana dan juga di EDL dan baru-baru ini juga dilancarkan di Bandar Sri Alam dan juga di Kangkar, Tebrau.

“Pihak Majlis meletakkan penerima-penerima bantuan perumahan ini sebagai tempat transit mereka di mana apabila pada satu ketika nanti mereka berjaya merubah kehidupan mereka dan mungkin ada dikalangan anak-anak mereka yang berjaya dan mampu menyara keluarga mereka, maka mereka akan pindah.

“Ini tidak mengurangkan aset yang ada pada MAIJ. Jadi kalau ada keperluan pada masa akan datang mungkin rumah-rumah berkenaan boleh dijual dan sebagainya maka pihak MAINJ boleh menjualnya kepada mereka-mereka yang memerlukan,” ujarnya ketika ditemui UMNO-Online baru-baru ini.

Beliau seterusnya menambah bagi pembinaan rumah transit di luar bandar, akedahnya agak berlainan sedikit yang mana MAINJ akan membangunkan rumah-rumah transit di atas tanah milik kerajaan yang telah digazetkan sebagai kawasan perumahan rakyat miskin atau mereka yang tidak berkemampuan.

“Dan disitu kita akan bina dalam bentuk perkampungan dengan jumlah yang agak besar. Sebagai contoh di Tenglu, Mersing kami telah bina lebih kurang 32 uni dan ditambah 35 unit untuk fasa seterusnya dan fasa yang pertama telah pun siap dan insya Allah akan disempurnakan dalam masa terdekat.

“Dan insya Allah kita juga telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Daerah untuk bina 30 lagi di Bukit Kepong dalam satu kawasan pemindahan yang mereka memerlukan. Ketiga di Gemerih dan keempat kita cuba buat di Simpang Renggang yang mana kita hanya tunggu kebenaran daripada Pejabat Daerah.

“Insya Allah sasaran kita sehingga 2018 kita berusaha untuk membina sekurang-kurangnya 1000 rumah transit samada dalam bandar atau luar bandar untuk dijadikan kediaman kepada mereka yang memerlukan khususnya kepada asnaf fakir dan miskin,” katanya.