Program Semarak Johor Platform Rapatkan Perpaduan Antara Kaum

TANGKAK, 30 April – Program Semarak Johor Tangkak 2016 diharapkan mampu menjadi platform terbaik bagi merapatkan perpaduan antara kaum, penyebaran maklumat serta ilmu pengetahuan kepada rakyat di negeri ini.

13015252_10153801155193173_8131424921953471771_nMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program tersebut bukan sahaja memberi peluang dan ruang kepada rakyat serta agensi kerajaan untuk berinteraksi tetapi turut menjadi platform bagi mendekatkan rakyat dengan pemimpin.

“Kita berharap program seumpama ini mampu menjadi medan dalam menjelaskan dasar dan polisi yang berkaitan pembangunan di negeri ini secara menyeluruh.

“Dasar kerajaan dan isu semasa berkaitan pembangunan Johor perlu disampaikan kepada masyarakat supaya mereka faham dan mengambil peluang serta tidak terlepas daripada mendapatkan manfaatnya,” katanya dalam ucapan perasmian program Semarak Johor Tangkak 2016 di Dataran Ledang di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu bersama-sama menghindari sebarang tindakan yang mencetuskan provokasi perkauman kerana ianya hanya membawa kerugian dan menjejaskan keamanan di negara ini.

“Saya menyokong penuh konsep permuafakatan yang dibawa oleh Menteri Besar Johor bagi mensejahterakan negeri ini menerusi pendekatan permuafakatan antara pemimpin, kerajaan dan rakyat.

“Semangat inilah yang menjadi asas dan memainkan peranan penting dalam mendepani hal-hal berkaitan pembangunan inklusif termasuk berkaitan hal politik, sosial dan juga ekonomi yang bakal memberi menfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Program Semarak Johor Tangkak 2016 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu adalah satu usaha yang dilaksanakan dalam mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.