Kerajaan Johor sumbang RM100,000 kepada PAMJ WP, Selangor?

KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan Johor menyumbang dana berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor bagi memastikan ia terus rancak melaksanakan pelbagai aktiviti.

3004_PAMJ-1Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dana yang akan diberikan kepada PAMJ setiap tahun itu juga diharap menjadi platform untuk anak-anak Johor di sekitar Lembah Klang berkumpul dan berkongsi idea.

“Banyak manfaat yang boleh kita capai apabila mempunyai PAMJ yang aktif, antaranya kita dapat membangunkan muafakat, silaturahim dan berkenalan sesama kita,” katanya ketika berucap sempena Malam Muafakat Johor 2016 di sini malam tadi.

Beliau juga mahu semangat kemuafakatan di antara anak-anak Johor sentiasa diperkukuh dari semasa ke semasa untuk melonjakkan pencapaian dan sumbangan yang lebih bermakna oleh mereka.

“Permuafakatan ini akan menyuburkan daya pemikiran yang bersikap progresif bersesuaian dengan perspektif anjal dan berwatak global,” katanya.

Pada majlis itu juga, Mohamed Khaled turut merasmikan logo baharu PAMJ Wilayah Persekutuan dan Selangor.

PAMJ ditubuhkah pada 1984 dan anggotanya terdiri daripada anak kelahiran Johor yang bermastautin di negeri luar Johor.