Kerajaan Negeri Akan Bina Empat Lagi Pusat Pdk Tahun Ini

ISKANDAR PUTERI, 24 April  — Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijangka membina empat buah lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) tahun ini melibatkan peruntukan RM1.4 juta.

11057217_1092562610758234_2598732358070536809_nPengerusi jawatankuasa itu Asiah Md Ariff berkata dalam tempoh yang sama, kerajaan juga akan menyelenggara dan menambah baik sebanyak 69 PDK yang terdapat di negeri ini.

“Usaha itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM345,000 dengan setiap PDK menerima RM5,000,” katanya ketika sesi penggulungan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Asiah berkata langkah yang dilakukan itu jelas membuktikan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin peka terhadap kebajikan, keselamatan dan pembangunan semua peringkat masyarakat bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Sementara itu, Asiah berkata pihaknya telah melaksanakan sebanyak 57 operasi penguatkuasaan sejak Januari hingga Mac lepas bagi membendung masalah gelandangan dan pengemisan di premis-premis tertentu.

Operasi itu dijalankan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan secara bersepadu, berkala atau ad hoc.

Mengikut rekod, seramai 82 orang telah ditahan termasuk enam orang kanak-kanak, tujuh orang kurang upaya (OKU) dan 14 warga emas menerusi 27 operasi berjadual, 28 operasi ad hoc dan dua operasi bersepadu yang dijalankan.

Tambahnya, semua kutu rayau dan gelandangan itu kemudian ditempatkan di Anjung Singgah untuk dibuat tapisan.

“Mana-mana gelandangan yang bekerja perlu pengesahan daripada majikan. Sekiranya mereka tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen, maka mereka akan diambil perintah sementara di bawah Seksyen 32 Akta Orang Papa 1977 dan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Johor Baharu.

“Siasatan akan turut dilakukan oleh JKM untuk mengesan waris. Sekiranya mempunyai waris, mereka akan dipulangkan kepada keluarga manakala bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak berwaris atau waris tidak dapat dihubungi akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Johor Baharu,” katanya.