Johor Kaji Pelaksanaan Tanpa Polisterin Dan Beg Plastik – Ayub

JOHOR BAHARU, 23 April — Kerajaan negeri sedang dalam proses mengkaji cara melicinkan proses pelaksanaan tanpa penggunaan plastik dan polisterin, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata banyak perkara yang perlu diambil kira telebih dahulu supaya pelaksanaannya nanti berjalan lancar.

e4fbfeca-f894-46a9-93fe-d5b6052521d1“Kita akan laksanakan program tanpa penggunaan polisterin dan pengurangan penggunaan plastik secara berfasa.

“Ia tidak boleh dilaksanakan secara drastik bagi menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Wanita Antarabangsa 2016 anjuran Hospital Pakar Regency dan Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelek Johor (Jeiwa).

“Sekarang kita dalam fasa mendidik dan membiasakan masyarakat dengan tiada pengunaan plastik dan polisterin supaya mereka betul-betul sedia untuk pelaksanaannya akhir tahun ini,” tambahnya.

Ayub berkata antara cabaran pelaksanaannya ialah masyarakat masih sukar untuk mengikuti dan mengamalkan kempen yang telah diadakan serta menganggap perkara itu menyusahkan mereka.

Katanya setakat ini dua buah negeri iaitu Melaka dan Selangor sudah mula melaksanakan program itu dan bakal diikuti Perak pada Jun nanti.

Beliau berkata negeri yang telah melaksanakan program itu turut berdepan banyak masalah termasuk kos yang tinggi untuk menggantikan beg plastik dan polisterin.

“Faktor kebimbangan utama sekiranya program ini dilaksanakan ialah harga makanan dan barangan akan naik,” kata beliau.