Johor Akan Tubuh Jawatankuasa Khas Perhalusi Pelan Penubuhan Bank Of Johor

ISKANDAR PUTERI, 24 April – Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperhalusi pelan cadangan penubuhan Bank of Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri, dalam masa yang sama turut bercadang mendapatkan nasihat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu melantik konsultan dan pihak yang mempunyai kepakaran dalam usaha penubuhan bank tersebut.

MB4-768x512“Kerajaan negeri berasa bertuah kerana Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berpandangan jauh dan sentiasa memikirkan masa depan negeri serta rakyat.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan memperhalusi secara serius titah Sultan Johor yang mengusulkan penubuhan Bank of Johor,” katanya pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri Johor perlu mengambil kira pelbagai faktor dalam meneliti cadangan penubuhan bank tersebut termasuk matlamat dan keberkesanan sesuatu model yang ingin digunakan, daya saing dan sumber kepakaran yang diperlukan serta kemampuan memenuhi syarat dan peraturan ketat yang ditetapkan BNM dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bersikap terbuka dalam melihat model dan struktur terbaik untuk digunakan termasuk mempertimbangkan pelbagai konsep sama ada sebagai sebuah bank pembangunan, bank perdagangan, bank komuniti, bank Islam atau bank koperasi.

Sementara itu, mengenai perkembangan usaha kerajaan negeri mewujudkan Tabung Waqf Rakyat Johor (TWRJ) di bawah kelolaan Perbadanan Islam Johor (PIJ), Mohamed Khaled berkata PIJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kini berada di peringkat akhir memperhalusi memorandum persefahaman (MoU) berkaitan syarat lantikan PIJ sebagai Nazir Khas Pembangunan Waqf Negeri Johor.

Beliau berkata pelantikan PIJ sebagai nazir bukan satu tanggungjawab mudah dan tidak boleh dibuat tergesa-gesa kerana memerlukan banyak faktor yang perlu diambil kira bagi menguruskan pembangunan waqf dengan baik.

“Buat masa sekarang, pelbagai perbincangan sedang giat dijalankan dengan pelbagai pihak bagi mewujudkan dan memastikan dana waqf yang dicadangkan ini diurus dengan sebaik dan secekap mungkin,” katanya.

PIJ juga sedang mengkaji tanah-tanah waqf dan Baitulmal di bawah MAINJ untuk dibangunkan secara optimum dengan penekanan kepada sektor kesihatan, pendidikan dan ekonomi, katanya.