Hasrat Acan Jumpa Tunku Ismail Tercapai

MUAR, 22 April – Seorang budak yang menderita sakit jantung berlubang tahap kronik di sini, terharu apabila permintaannya untuk bertemu Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi kenyataan.

TMJ-1Mohd Fikri Hashim, 15, pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan keluarga diraja itu yang menjadi idolanya sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, kunjungan Tunku Ismail selama kira-kira 30 minit di kediaman keluarga Mohd Fikri, semalam nyata memberi semangat dan inspirasi kepadanya.

Menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, Mohd Fikri atau mesra disapa Acan perlu menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), di mana segala kos rawatan akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab pasukan bola sepak negeri itu, JDT.

Beliau juga mengarahkan menggunakan khidmat doktor peribadinya sendiri untuk melakukan pemeriksaan terhadap Mohd Fikri.

Pada pertemuan itu, Tunku Ismail turut menghadiahkan sehelai jersi JDT yang tertera nama ‘Acan 01’ kepada Mohd Fikri.

Selain itu, Mohd Fikri turut menerima aksesori daripada pasukan JDT seperti bola yang lengkap ditandatangani semua pemain dan cenderamata pasukan bola sepak.

Kehadiran Tunku Ismail menjadi kenangan istimewa buat Acan dalam perjuangannya melawan penyakit yang dihidapinya. – SINAR HARIAN