Tiada Sekatan Berdakwah, Patuhi Peraturan JAINJ

ISKANDAR PUTERI, 21 April – Kerajaan Negeri tidak menyekat pendakwah untuk menyampaikan ceramah agama di negeri ini selagi mereka mematuhi prosedur serta peraturan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata larangan terhadap 16 pendakwah untuk berceramah di negeri ini sebelum ini adalah disebabkan profil serta skop ceramah masing-masing yang tidak bersesuaian dengan ketetapan pihak berkuasa agama.

Abd.-Mutalip-Abd.-Rahim-dokumen“Tahun lepas, dua aduan berkaitan kesalahan mengajar tanpa tauliah telah diterima dan satu fail siasatan telah dibuka.

Sehingga Mac lepas, JAINJ menerima dan menyiasat empat aduan membabitkan 38 individu, lima daripadanya penceramah manakala selebihnya adalah ejen serta penganjur ceramah,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Johor Ke-13 di sini hari ini.

Abd Mutalip berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan kaedah diplomasi terlebih dahulu dengan meminta pihak penganjur memohon bagi mengadakan majlis ceramah yang melibatkan penceramah tertentu melalui kadi daerah.

Beliau berkata sekiranya penceramah yang dijemput itu dari kalangan yang tidak jelas latar belakangnya, maka, penganjur akan diminta membatalkannya atau menggantikannya dengan penceramah yang lain sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksana sekiranya penganjur gagal mematuhi arahan.

“Untuk mengelakkan pembatalan ceramah pada saat akhir, maka, penganjur perlu memaklumkan nama penceramah yang dijemput kepada jabatan untuk mendapatkan pandangan serta kelulusan.

“Penceramah tidak boleh menyentuh isu sensitif di negeri ini, antaranya menyentuh kuasa Sultan, isu perkauman, politik serta mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh JAINJ.

Beliau berkata, penganjur program ceramah juga perlu mempunyai hubungan baik dengan JAINJ untuk memastikan proses penganjuran lebih mudah sekali gus penganjur tidak perlu menanggung kerugian besar jika penceramah terpaksa ditukar serta-merta.

Sementara itu, pada sesi penggulungan persidangan yang sama, Abd Mutalip berkata JAINJ amat menggalakkan usaha dakwah kepada masyarakat, namun, ia perlu mengikut peraturan yang ditetapkan supaya dakwah yang disampaikan tidak mengelirukan atau memecah belahkan masyarakat.

“Bukankah dakwah itu hakikatnya adalah bagi mendatangkan keharmonian dan kesejahteraan di kalangan rakyat, dakwah hendaklah dapat memberi manfaat yang baik kepada yang menerima dakwah bukannya mendatangkan lagi sifat kebencian dan menyalahkan antara satu kelompok dengan kelompok lain,” katanya. – Jauhar