Dewan Negeri: 2,000 Individu Akan Dilatih Di Bawah Program Bio Talent Johor Tahun Ini

ISKANDAR PUTERI, 21 April — Seramai 2,000 orang lagi akan dilatih di bawah program Bio Talent Johor pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday.

jais-sarday-dlpBeliau berkata jumlah itu untuk memenuhi keperluan 20 syarikat berasaskan bio di negeri ini.

“Program Bio Talent Johor dikendalikan oleh Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) yang bertujuan membangunkan lebih ramai modal insan dalam bidang bioekonomi.

“Pada tahun lalu, seramai 1,813 orang telah dilatih untuk memenuhi keperluan 17 syarikat dalam sektor bioteknologi yang berasaskan bio di negeri ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Abd Razak Minhat (BN-Serom) yang ingin tahu bagaimana Hab Halal Johor menerusi pusat penyelidikan dan pembangunan produk dapat menggiatkan perkembangan inisiatif bioekonomi negeri Johor.

Md Jais berkata bioekonomi dilihat sebagai antara sektor yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri ini.

Katanya bidang bioekonomi di Johor berjaya menarik pelaburan dalam sektor bioteknologi sebanyak RM670 juta pada tahun lalu dan dijangka menarik RM700 juta lagi pada tahun ini.