Kerajaan Negeri Kaji Mekanisme Jadikan Penjara Reman JB Pusat Cenderahati

ISKANDAR PUTERI, 20 April — Kerajaan negeri sedang mengkaji mekanisme sesuai untuk menjadikan Penjara Reman Johor Baharu di Jalan Ayer Molek di sini sebagai pusat penjualan cenderahati pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata beberapa siri lawatan telah diadakan untuk melihat konsep yang bersesuaian selain mengetahui keupayaan penjara itu.

blogger-image--2067129259“Segala usaha (mentranformasikan Penjara Reman Johor Baharu) ini masih dalam peringkat kajian dan perancangan kerajaan negeri setakat ini serta kajian lanjut sedang diteliti bagi mendapatkan kaedah pelaksanaan terbaik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan R.Kumar (BN-Tenggaroh).

Kumar ingin tahu adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan mewujudkan sebuah pusat atau hab cenderahati bagi pelancong yang melawat negeri ini, dalam sesi soal jawab Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Tee juga berkata cenderahati yang dihasilkan sesetengah pengusaha di negeri ini termasuk pengusaha program inap desa tidak terhad kepada barangan seperti baju, magnet cenderahati dan pemegang kunci semata-mata, sebaliknya turut merangkumi produk kreatif serta inovatif.

Sebagai contoh, Inap Desa Kampung Tanjung Piai di Pontian menghasilkan kraftangan bakul surat khabar; Inap Desa Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA (Kraftangan kayu nibong) dan Inap Desa Kampung Temenin Baru (seni daun getah) bagi ditawarkan kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan itu.

Beliau menambah kata, pada masa yang sama, kerajaan juga mengalakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menghasilkan cenderahati yang lebih kreatif seperti kuih bahulu gulung nanas yang dihasilkan penduduk Pontian sekarang.