Kerajaan Johor Akan Terus Aktif Tarik Penaja Bagi Bangunkan Sukan

ISKANDAR PUTERI, 19 April — Kerajaan negeri Johor akan terus aktif dalam menarik penaja khususnya syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sebagai usaha membantu pembangunan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata walaupun kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM12 juta kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) setiap tahun, namun, jumlah itu tidak mencukupi dan memerlukan penglibatan penaja bagi melonjakkan lagi bidang sukan.

d7fee670-6d4b-4508-b589-ea404324c18c“Kerajaan sedar akan hal ini, sebab itulah walaupun peranan mendapatkan penajaan ini perlu dimainkan oleh persatuan-persatuan sukan tetapi pihak kerajaan negeri melalui MSNJ tetap turut sama membantu dalam mendapatkan penajaan kepada persatuan sukan bagi tujuan membantu mengumpul dana pengurusan dan pelaksanaan program pembangunan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ayub Jamil (BN-Rengit) berhubung penajaan sukan di Johor dan perancangan kerajaan negeri bagi program penajaan sukan melibatkan penyertaan syarikat swasta serta GLC negeri, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini Selasa.

Zulkurnain berkata beberapa sukan sudah mendapat penajaan dari syarikat swasta dan GLC negeri antaranya badminton yang ditaja oleh Fleet International Holdings Sdn Bhd, ragbi oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, pelayaran oleh Johor Corporation dan sepak takraw oleh Gajah Emas Industries Sdn Bhd.

Beliau berkata usaha terus giat dijalankan dalam mendapatkan penajaan dengan kaedah menjadikan GLC negeri sebagai syarikat angkat kepada beberapa acara sukan.

Katanya, antara perancangannya adalah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor menaja lumba basikal, Perbadanan Islam Johor Holdings Berhad (memanah), Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn Bhd (kayak), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (olahraga) manakala Johor Petroleum Development Corporation (menembak).

Menurut Zulkurnain, adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin di peringkat akar umbi juga untuk bersama-sama menyemarakkan aktiviti sukan di negeri ini supaya sesuatu sukan itu mampu popular dan diminati orang ramai sekali gus menarik minat penaja untuk menaja sesuatu penganjuran sukan.

“Bukanlah usaha mudah untuk menarik penaja kerana penaja terutamanya syarikat swasta pastinya memikirkan keuntungan atau pulangan daripada penajaan yang dilakukan tidak kira dari segi jualan produk, promosi mahupun pengecualian cukai. Penaja biasanya hanya mahu menaja program sukan yang mempunyai tarikan ramai dan berimpak tinggi,” katanya.