Dewan: Program Sukarelawan Job Coach Bantu OKU Johor Dapat Kerja

ISKANDAR PUTERI, 19 April — Kerajaan Negeri Johor melaksanakan program Sukarelawan Job Coach 2016 di negeri ini bagi mambantu dan memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat pekerjaan dalam pasaran terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff berkata program itu, yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kurang Upaya, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, bertujuan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat setempat khususnya belia dalam membantu golongan OKU.

4ae3a65a-2ac3-4c9a-94b6-19d1c1c66bf8“Menerusi Sukarelawan Job Coach 2016, golongan OKU akan dibantu sukarelawan dengan mencari dan memadankan jawatan bersesuaian mengikut kelayakan dan keupayaan mereka di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Abd Razak Minhat (BN-Serom) dan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berhubung perancangan program Sukarelawan Job Coach 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar di sini hari ini.

Asiah berkata Sukarelawan Job Coach 2016 berlangsung selama sembilan bulan mulai 10 April sehingga 31 Dis depan dengan 29 peserta mengikuti program sekarelawan termasuk belia, badan bukan kerajaan, orang persendirian serta majikan.

Beliau menjelaskan apabila seseorang OKU itu diterima bekerja, mereka akan dibimbing oleh ‘Job Coach’ dan dibantu penyelia semasa proses penempatan pekerjaan.

Dalam pada itu, Asiah berkata sejak program penempatan pekerjaan OKU dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, seramai 94 orang OKU dapat ditempatkan bekerja dalam pelbagai sektor.

Antara sektor yang menyediakan pekerjaan kepada golongan terbabit termasuk sektor awam, pasar raya, perhotelan, kilang dan perkhidmatan dengan antara jawatan yang ditawarkan pula termasuk pembantu perpustakaan, pembantu tadbir, juruwang serta pereka grafik.