Serangan Terhadap Johor Bertujuan Semai Kebencian Di Hati Rakyat Kepada PM

LABIS, 18 April – Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh menyifatkan serangan demi serangan terhadap negeri itu akhir-akhir ini dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk menambah kebencian rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sekaligus melemahkan UMNO di negeri Johor.

Jelasnya, dek kerana segala rancangan jahat mereka yang tidak bertanggungjawab ini untuk menjatuhkan perdana menteri gagal, maka kini strategi di arah kepada menyerang kepimpinan negeri pula.

20160418050520“Mungkin mereka melihat apa yang terjadi di negeri Kedah sebelum ini mampu menghuru-harakan keadaan jadi mereka cuba di negeri Johor pula.

“Tapi bagi saya strategi tersebut tidak akan berjaya kerana pemuafakatan bangsa Johor amat kukuh dan tidak mudah untuk diperlekehkan,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Haslinda, Wanita Johor akan terus mengorak langkah bagi memastikan segala maklumat tepat dapat disampaikan kepada rakyat sekaligus menangkis tohmahan dan fitnah mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Kita lihat Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin juga kini menjadi mangsa fitnah. Kononnya ada gerakan untuk menjatuhkan beliau. Tapi ini semua semua adalah permainan politik kotor pembangkang yang hanya mahu melihat kita bergaduh sesama sendiri.

“Oleh itu kita harus bijak untuk menapis setiap maklumat yang kita terima. Jangan percaya bulat-bulat. Apatah lagi kini Johor adalah antara negeri yang memang diidamkan oleh pembangkang.

“Sekiranya mereka berjaya menawan Johor maka itulah lambang kemenangan mereka. Kerana apa? Kerana di negeri inilah lambang kekuatan UMNO memandangkan Johor adalah negeri kelahiran UMNO,” katanya lagi.