Ahli UMNO Perlu Tolak Budaya Fitnah Demi Kelangsungan Parti Keramat UMNO

PASIR GUDANG, 14 April – Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Normala Abdul Samad mengajak rakyat menolak sekeras-kerasnya budaya fitnah yang semakin berleluasa terutamanya di media sosial kerana ia mampu menyemai api permusuhan dan kebencian yang akhirnya akan menghancurkan perpaduan dan kesatuan ummah yang seharusnya diberi prioriti.

20160414085447-1Jelasnya, sudah banyak bukti yang menunjukkan bahawa fitnah boleh menyebabkan Negara menjadi huru-hara malah sekiranya fitnah dipandang remeh maka keutuhan UMNO juga mampu rebah dan inilah yang dimahukan oleh pembangkang.

“Kita lihat bagaimana pembangkang sering menyebar fitnah. Bila tertangkap mereka hanya akan memohon maaf ataupun memberi alasan bergurau tetapi ‘damage is done’.

“Di Johor sendiri Menteri Besar, Dato’ Mohd Khaled Nordin terkena tempiasnya semata-mata ingin menghancur dan merosakkan kemuafakatan negeri ini. Mungkin ada pihak yang berasa terancam melihat rakyat negeri ini bersatu maka mereka mula menyerang Johor,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Oleh itu tambah Normala, semua ahli UMNO harus bersatu dan terus berjuang demi agama, bangsa dan negara. Kembalikan zaman kegemilangan pahlawan Melayu zaman dahulu. Perjuangan menuntut kemerdekaan dengan penuh kejujuran dan pengorbanan. Kembalikan kegemilangan itu kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya ini dapat kita kembalikan maka UMNO akan terus utuh dan tidak akan ada apapun yang mampu mengganggu gugat parti keramat ini.

“Kita kena sedar, semua serangan ini adalah bertujuan memastikan UMNO tumbang dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah kita sanggup melihat UMNO yang telah bertahan selama 70 tahun ini tumbang?

“Adakah kita sanggup menggadaikan masa hadapan anak cucu kita hanya kerana terpengaruh dengan fitnah pembangkang? Jadi, fikirlah secara rasional sebelum kita membuat sebarang keputusan,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO agar jangan mengamalkan sikap adu domba ataupun menikam dari belakang semata-mata ingin mempunyai kuasa.