‘Johor Berkemajuan’ Antara Tema Anugerah Lensa Johor 2016

JOHOR BAHRU, 13 April – Gagasan ‘Johor Berkemajuan’ merupakan antara tema yang bakal dipertandingkan menerusi pembikinan video pendek, Anugerah Lensa Johor 2016.

20160414085516-1Pertandingan kategori Anugerah Video Kreatif Johor itu mencabar kreativiti peserta dengan mendalami dan memahami gagasan tersebut, seterusnya diterjemahkan dalam penghasilan video mereka.

Ini termasuk elemen pemahaman masyarakat terhadap kemajuan yang perlu dicapai bersama agar Johor menjadi sebuah negeri tersohor di mata dunia.

Pertandingan anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu turut mendapat kerjasama Universiti Multimedia (MMU) Iskandar Puteri dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memupuk minat belia dalam penghasilan filem pendek yang dapat mempromosikan negeri Johor.

“Kita berharap ia akan memberi ruang kepada masyarakat untuk mengetengahkan bakat mereka melalui pertandingan ini untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran anugerah itu di sini, Isnin.

Selain ‘Johor Berkemajuan’, tema lain yang turut dipertandingkan bagi kategori Anugerah Video Kreatif Johor adalah ‘Muafakat’.

Manakala bagi kategori Anugerah Video Spontan Johor pula bertemakan ‘Bangsa Johor’.

Anugerah Lensa Johor 2016 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM70,000, merupakan kesinambungan pertandingan fotografi yang dianjurkan YWJ pada tahun lalu.

Pemenang anugerah turut berpeluang menyertai Content Malaysia Pitching Centre, FINAS di Kuala Lumpur.

Borang penyertaan boleh didapati di Yayasan Warisan Johor atau muat turun di laman web www.ywj.gov.my.