Desas-Desus Gerakan Singkir Khaled Tidak Gugat Muafakat UMNO Johor- Tok Ai

JOHOR BAHRU, 8 April -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang YB Mohd Azhar Ibrahim percaya desas-desus berhubung gerakan menyingkirkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak akan menjejaskan perpaduan serta permuafakatan UMNO negeri berkenaan.

UnknownMenurut beliau desas-desus tersebut sekadar gimik politik dan ianya tidak akan menjejaskan muafakat UMNO negeri yang telah terjalin sekian lama dan sudah pasti ianya perlu dipertahankan sebaik mungkin.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk terus mempertahankan permuafakatan kita dan sebab itu saya berkeyakinan desas-desus tersebut akan berlalu begitu sahaja.

“Insya Allah kita akan terus laksanakan tugas dan tanggungjawab serta tidak akan melihatnya secara serius kerana apa yang penting adalah untul memastikan segala perancangan kerajaan negeri menerusi Datuk Seri Khaled berjalan lancar,” katanya kepada umno-johor, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya percaya muafakat UMNO negeri akan terus kukuh dengan masing-masing bersatu padu dalam menggalas amanah serta tanggungjawab terhadap rakyat.

Katanya cubaan mereka yang berusaha menidakkan kepimpinan Datuk Seri Khaled adalah mereka yang tidak melihat secara mendalam dan tidak meneliti segala perancangan yang telah dilaksanakan bersama kepimpinan negeri yang lain.

“Jika ada…dan jika wujud usaha sedemikian rupa begitulah yang mana mereka tidak melihatnya secara lebih dekat. Namun apa pun yang penting kita akan terus pertahankan muafakat UMNO Johor kerana itulah kekuatan kita dan itulah ramuan dalam memperkasakan parti,” katanya.