Tuduhan Wujudnya Gerakan Jatuhkan MB Johor Hanya Provokasi Politik

LEDANG, 7 April – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyelar pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang sedang cuba untuk meruntuhkan perpaduan UMNO Johor dengan menyatakan ada gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Ketua pergerakan tersebut, Sahrihan Jani menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.

d053ab3b-6efc-4c03-b24f-99a87ba8ba71Beliau turut menegaskan bahawa seluruh kepimpinan sayap Pemuda dalam Negeri Johor berpegang teguh kepada konsep penghormatan terhadap kepimpinan dan institusi malah Menteri Besar Johor setakat hari ini telah merekodkan pencapaian yang cemerlang dengan memperkenalkan dan melaksanakan program-program dan dasar yang diterima baik oleh rakyat bangsa Johor sendiri.

“Kami Pemuda UMNO Johor teguh berdiri di belakang kepimpinan Datuk Seri Khaled dan menyeru semua ahli UMNO khususnya di negeri ini agar tidak melayani isu yang tidak relevan seperti ini.

“Fokus utama pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor pada ketika ini adalah membantu kerajaan negeri yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal relevan di hati rakyat.

“Kita mahu rakyat menilai berdasarkan rekod prestasi dan kemampuan kerajaan Negeri melaksanakan dasar dan program yang mentitik beratkan soal kebajikan juga memberi kebaikan kepada rakyat dan bukan penilaian berdasarkan persepsi negatif seperti yang cuba dimainkan ketika ini,” ujarnya lagi.

Tegas Sahrihan, kewibawaan Khaled Nordin sebagai Menteri Besar telah terbukti dan mampu menyatupadukan ahli UMNO dalam brgerak mencapai misi dan visi yang jelas. Maka tidak ada sebab beliau perlu ditukar pada ketika ini.

Gerakan ini juga sekiranya benar wujud pastinya tidak dapat diterima oleh bangsa Johor secara keseluruhan memandangkan Johor mempunyai budaya tersendiri dan menolak politik adu domba dan hasutan sebegini, ulasnya.