Jelajah “Johor Berkemajuan” Beri Penerangan Kepada Rakyat Mula Awal Mei Ini

JOHOR BAHARU, 6 April  – Kerajaan negeri akan memulakan jelajah bagi memberi penerangan yang lebih jelas dan terperinci mengenai Gagasan Johor Berkemajuan kepada rakyat negeri ini, mulai awal bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Gagasan Johor Berkemajuan merupakan satu usaha mengimbangi pembangunan bangsa dan negara dengan kemakmuran material, kesejahteraan sosial dan juga kekuatan keperibadian.

12417899_1060548060650889_6508953279345333723_n“Tujuan kita untuk menjayakan gagasan itu adalah semata-mata sebagai satu pelan terancang untuk kita mengangkat kesejahteraan rakyat Johor kepada satu tahap yang lebih baik dibandingkan pada masa-masa dahulu, seiring dengan kepesatan pembangunan dan pemodenan yang kita kecapi kini,” kata beliau ketika berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Johor (KMJ) malam tadi.

Mohamed Khaled berkata adalah penting bagi rakyat memahami gagasan itu yang turut merangkumi usaha-usaha dan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan dari semasa ke semasa dan bakal diperkenalkan pada masa hadapan.

“Kekuatan Johor akan terjelma hanya bila keseimbangan itu wujud dalam setiap pembangunan yang kita bawa di negeri ini (dan) ini bukan satu perkara yang hanya menjadi cakap-cakap kosong,” katanya

Justeru itu, Mohamed Khaled berkata tanpa pemahaman dari rakyat dan penglibatan bersama oleh rakyat, sudah tentulah hasrat kerajaan negeri untuk menjayakan gagasan itu tidak akan tercapai.

“Untuk jelaskan lebih lanjut mengenai gagasan ini, kerajaan negeri akan lakukan Jelajah ‘Johor Berkemajuan’ yang mana kita akan sasarkan setiap lapisan masyarakat untuk mereka faham usaha kita dan kita akan pastikan mereka bersedia untuk bersama-sama menjayakan gagasan tersebut,” kata beliau.

Jelajah itu akan diletakkan di bawah tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata peranan media dan hubungan baik antara media dan kerajaan negeri yang berterusan dilihat penting bagi memastikan usaha-usaha kerajaan negeri dalam mensejahterakan hidup rakyat negeri ini akan tercapai.

Gagasan Johor Berkemajuan yang diperkenalkan kerajaan negeri pada Februari lepas memberi tumpuan kepada satu anjakan transformasi sosial dalam mewujudkan budaya, sikap dan pemikiran yang berkemajuan.

Pada mesyuarat agung KMJ malam tadi, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan dari kerajaan negeri sebanyak RM50,000 kepada Presiden KMJ Mohd Fauzi Ishak dan RM10,000 hasil sumbangan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor kepada kelab media itu yang dianggotai lebih 100 orang pengamal media di negeri ini.