Johor Timbang Teruskan Lantikan KPRJ Sebagai Pemaju Projek SAKJ

ISKANDAR PUTERI, 5 April — Kerajaan negeri sedia menimbang untuk meneruskan lantikan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai pemaju yang melaksanakan fasa kelima pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata sekiranya semua berjalan lancar, beliau berharap fasa pembangunan baharu itu dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun depan.

“Sebanyak 60 buah SAKJ baharu akan dibina bagi melengkapkan jumlah SAKJ sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembangunan SAKJ di Dewan SAKJ Lima Kedai di sini hari ini.

Projek pembangunan SAKJ sebelum ini diberi kepada sebuah syarikat swasta, namun kerana kegagalan mereka menyiapkan projek mengikut masa ditetapkan, maka kerajaan negeri memutuskan ia diambil alih oleh KPRJ.

Abd Mutalip berkata sejak pengambilalihan pada 26 Okt 2015, KPRJ telah menyiapkan sebanyak 11 daripada 77 SAKJ yang terbengkalai semasa dikendalikan pemaju terdahulu.

Antara 11 sekolah itu ialah SAKJ Semanyir di Mersing, SAKJ Taman Scientex di Pasir Gudang, SAKJ Parit Raja di Muar, SAKJ Kg. Melayu 4 Bukit Paloh di Kluang dan SAKJ Kg. Melayu Lima Kedai di sini.

Menjelang akhir tahun ini, sebanyak 45 unit SAKJ pula akan menerima kunci masing-masing.

Abd Mutalip berkata pembinaan SAKJ ini adalah perlu bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dek kerana pertambahan populasi.

Katanya setakat ini, seramai 184,000 pelajar sekolah terdiri daripada darjah satu hingga kelas pemulihan telah ditempatkan di SAKJ di seluruh negeri.