JDT Kembali Ke Puncak Liga Super

JOHOR BAHRU, 5 April — Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menerajui kedudukan teratas selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

12473930_605312119632091_4330291571192215329_oKemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengumpul 16 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Pada aksi di Larkin, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan pemain import pelawat, Elias Fernandes Oliviera pada minit ke-17 sebelum penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero menjaringkan dua gol untuk JDT iaitu menerusi sepakan penalti minit ke-47 dan gol padang, selang lima minit kemudian.

Selangor pula kekal di tangga ketiga liga selepas seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini.

Dua gol skuad Gergasi Merah dijaringkan R.Gopinathan pada minit ke-30 dan Patrick Ronaldinho Wleh, selang seminit kemudian manakala gol Kedah dihasilkan Mohd Syazwan Zainon pada minit ketujuh dan Sandro da Silva pada minit ke-67.

Terengganu FC II kembali meraih kemenangan selepas mengalahkan Kelantan 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.