Siri Jelajah Selamatkan Malaysia Hanya Selamatkan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 5 April – Siri Jelajah Selamatkan Malaysia yang disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan parti pembangkang lain hanyalah menyerlahkan kecelaruan yang cukup ketara sesama mereka.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Johor, Dato’ Samsol Bari Jamali kempen tersebut lebih kepada menyelamatkan parti pembangkang semata-mata dan bukannya sepertimana yang diwar-warkan kononnya untuk menyelamatkan negara ini.

fc5c5f0b-c815-481f-a61c-75969b90dafaMenurut beliau jelas hari ini apa yang dilaksanakan itu lebih menjurus kepada soal individu yang mana masing-masing hanya mahu melontarkan agenda peribadi masing-masing sekaligus menimbulkan persoalan kempen tersebut menyelamatkan siapa yang sebenarnya.

“Sebenarnya masing-masing hanya mahu menyelamatkan diri mereka sahaja. PKR dengan agenda mereka dan Dap pula dengan agenda mereka kerana hari ini Setiausaha Agungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang terpalit dengan kontroversi pembelian rumah banglo.

“Dan mungkin juga Amanah tumpang sekaki untuk menyelamatkan partinya sendiri menerusi siri jelajah tersebut kerana diharapkan dapat melonjakkan populariti mereka. dan Mahathir pula dengan agendanya,” katanya kepada, di sini, hari ini.

Jurang perbezaan Tun Mahathir Mohamad dan pembangkang dikatakan semakin terserlah apabila mereka berkongsi pentas sekali lagi baru-baru ini.

Memetik Antarapos, ketika beberapa pemimpin pembangkang menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, Mahathir hanya mengulangi tuntutan mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

“Kita rakyat Malaysia hendaklah tandatangan Deklarasi Rakyat untuk singkirkan Najib, saya harap kita semua akan tandatangan deklarasi kerana kita tidak takut, kita kena tandatangan lebih banyak lebih baik, ” kata beliau pada siri jelajah Selamatkan Malaysia di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Mahathir semalam berkongsi pentas bersama dengan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa lagi pemimpin Pakatan Harapan yang mahu Anwar dibebaskan.

Mengulas lebih lanjut Shamsol Bari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang seterusnya menambah kempen jelajah mereka sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menilai siapakah watak dan siapakah diri mereka yang sebenarnya.

Kata beliau lagi matlamat yang bercelaru dan hala tuju kempen itu sendiri yang caca merba diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat umum bagaimanakah taktik politik pembangkang dalam usaha mendapatkan sokongan.

“Insya Allah kita di Johor akan berusaha sebaik mungkin. Mereka nak datang jelajah sini itu adalah hak mereka dan kita menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat dalam membuat penilaian kerana di negeri ini pelbagai usaha dan perancangan serta pelaksanaan telah dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya.