Paras Air Di Empangan Stabil, Johor Tidak Berdepan Krisis – Bakaj

JOHOR BAHARU, 4 April — Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) menjangkakan negeri ini tidak berdepan dengan krisis air, walaupun, cuaca panas mengakibatkan rata-rata empangan kini, di bawah paras kritikal.

imagePengarah Bakaj Mohd Riduan Md Ali berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan paras air empangan stabil sekali gus mampu membekalkan air mencukupi kepada seluruh penduduk.

“Kita lakukan pelbagai cara untuk atasi krisis air daripada berlaku, catuan air juga tidak berlaku kerana kami dapat mengawal paras air di empangan dengan cara pengaliran air mentah dari sumber seperti sungai.

“Kita ambil langkah tersebut untuk menaikkan paras air di empangan yang menyusut berikutan cuaca panas, dengan cara itu kami dapat stabilkan paras air,” katanya kepada pemberita selepas taklimat berkaitan cuaca panas dan kering, di sini Isnin.

Sehubungan itu, Mohd Riduan menasihatkan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah supaya negeri ini tidak menghadapi krisis bekalan dan catuan air.

Ditanya mengenai pembenihan awan, beliau berkata pihaknya akan mengambil langkah berkenaan sekiranya keadaan awan bersesuaian.

Sebagai langkah mencegah kejadian kecurian dan pencemaran sumber air seperti sungai, Riduan berkata pihaknya telah melantik lapan penguatkuasa untuk memantau aktiviti haram yang boleh menjejaskan bekalan sumber air.

“Kerajaan negeri telah meluluskan pelantikan itu. Kami akan mengambil tindakan ke atas pesalah dengan mengenakan kompaun RM500,000 bagi kesalahan pencemaran air manakala RM300,000 bagi kes curi air,” katanya.