Johor Bakal Wujudkan Pusat Pengumpulan IKS Di Setiap Daerah

KLUANG, 4 April – Pusat Pengumpulan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang bakal diwujudkan di Mersing pada tahun ini akan diperluaskan ke setiap daerah di Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan pusat tersebut bagi membantu meningkatkan pemasaran produk IKS, yang banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi Johor.

IKS“Kita berpendapat bahawa semua di daerah di Johor perlu ada Pusat Pengumpulan IKS. Sebab kita dapati ramai rakyat di negeri ini terlibat dalam perusahaan IKS.

“Kita juga mencadangkan agar usahawan-usahawan ini membentuk satu badan khusus untuk memasarkan produk-produk mereka,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Simpang Renggam, di sini, semalam.

Terdahulu beliau turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada 236 penduduk di Kampung Parit Hassan, Ulu Benut.

Menurut Khaled, kemajuan Negeri Johor kini turut bergantung kepada aktiviti-aktiviti keusahawanan yang dijalankan oleh masyarakat dan bukannya berasaskan pembangunan fizikal semata-mata.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan dan membantu rakyat yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan, ini termasuk dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Kita pernah melancarkan Pelan Tindakan Strategik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor untuk membantu menggalakkan aktiviti keusahawanan dan mengukuhkan kedudukan usahawan sedia ada di dalam pasaran.

“Selama ini kita hanya bantu beli mesin dan keperluan lain dan kini kita perlu fokus kepada soal pemasaran produk, soal promosi dan kalau ini dapat dilaksanakan, saya pasti matlamat kita untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Johor dalam keadaan sentiasa berkemajuan akan dapat kita capai,” katanya.

Sementara itu, katanya, sikap kebergantungan rakyat kepada kerajaan berjaya dikurangkan kerana rakyat telah banyak berdikari dalam menjalankan perusahaan mereka sendiri.

Ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahukan rakyat Johor lebih berdaya usaha.

“Seringkali saya menegaskan antara nilai yang perlu kita tanam di kalangan rakyat Johor adalah nilai berdaya usaha. Kita tidak mahu mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Jika masih lagi bergantung, negeri kita tidak akan kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Khaled berkata, daerah Kluang berpotensi dikembangkan sebagai hab pertanian berdasarkan hasil produk ternakan dan tanaman yang dihasilkan di daerah berkenaan.

Dalam lawatan sehari itu, Khaled juga mengadakan lawatan di sebuah pusat perusahaan Kuih Tat di Kampung Dato’ Ibrahim Majid.

Beliau turut menghadiri taklimat mengenai perusahaan IKS di Dataran Muafakat D’Harmoni, Kampung Parit Basri, sebelum melawat Ladang Integrasi Md. Judyar di Kampung Parit Hassan. – Jauhar