‘Townhall’ Bincang Situasi Semasa Denggi Diadakan 6 April Ini

JOHOR BAHRU, 2 April– Satu sesi ‘townhall’ kawalan wabak denggi akan diadakan di Auditorium Jotic pada 6 April ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin berkata, sesi itu diadakan bagi meningkatkan pengetahuan dan memberi pendedahan berkaitan situasi semasa wabak berkenaan kepada masyarakat.

denggi“Dalam sesi ‘townhall’, MBJB akan melibatkan semua ahli majlis bersama ahli jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, pemaju dan kontraktor tapak bina.

“Ia bagi berbincang dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jawatankuasa Denggi daerah, MBJB, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan lain-lain pihak yang berkepentingan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penuh MBJB (Mac) di sini.

A Rahim berkata, turut diadakan sesi pameran kepada mereka yang hadir bagi menambah pengetahuan mengenai wabak berkenaan.

Selain itu, katanya, usaha pemberitahuan dan mendapatkan kerjasama juga diadakan bagi pelaksanaan operasi ‘Search and Destroy’ (SND) tempat pembiakan aedes di seluruh kawasan MBJB yang dijangka diadakan pada 23 April ini.

“Mengenai operasi SND, pemilihan tarikh telah dibuat disesuaikan dengan trend kes yang mula menunjukkan penurunan, selain cuaca yang kering.

“Operasi yang dibuat diharap dapat menurunkan terus populasi nyamuk dan jumlah kes di kawasan MBJB,” katanya.

Beliau berkata, operasi SND akan dibuat serentak di 23 Zon Ahli Majlis MBJB dengan menggerakkan masyarakat keluar bersama untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes.

“Operasi ini dibantu SWCorp dan SWM Environment bersama kontraktor.

“Semua pemaju dan kontraktor tapak bina juga akan menjalankan SND pembiakan aedes di tapak pembinaan masing-masing, begitu juga dengan operasi SND di kawasan sekolah,” katanya.