Masai Bakal Berubah Wajah Kesan Projek Bandar Alam Masai

JOHOR BAHARU, 2 April — Pekan Masai dekat sini bakal berubah wajah menjadi sebuah bandar satelit dalam tempoh tujuh tahun berikutan projek pembinaan Bandar Alam Masai yang giat dibangunkan ketika ini.

12920419_10153767205133173_7819645771553365426_nMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM4.2 bilion itu dilaksanakan syarikat Era Universe Development Sdn Bhd.

“Kedudukan Masai berhampiran kawasan perindustrian menjadikannya pilihan tepat untuk muncul sebagai bandar baharu yang menjadi pelengkap kepada Pasir Gudang.

“Pembinaan projek di kawasan seluas 208 hektar itu merangkumi 3,000 unit kediaman dan bangunan komersial, dilengkapi kawasan rekreasi.

“Pemaju turut menyediakan Rumah Mampu Milik Johor dan Rumah Komuniti Pakej A dan B yang memberi faedah kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek pembangunan Bandar Alam Masai, di sini, Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Latif Bandi, Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad dan Pengarah Urusan Era Universe Development Sdn Bhd, Zulkifli Jafar.

Mohamed Khaled berkata pembangunan Bandar Alam Masai turut memberi manfaat dalam mengatasi beberapa masalah di Pekan Masai terutamanya pembangunan secara ad hoc, kesesakan lalu lintas, kekurangan tempat letak kenderaan serta sistem saliran.

Beliau berkata antara komponen yang turut dicadangkan menerusi pembinaan itu adalah memindahkan terminal pengangkutan dan pasar awam sedia ada ke Bandar Alam Masai yang ternyata memberi faedah kepada penduduk Masai dan Pasir Gudang.

“Terminal pengangkutan sedia ada dilihat tidak sesuai kerana lokasinya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas. Jadi, kita memang mengalu-alukan pembangunan Bandar Alam Masai ini kerana ia bukan bersifat pembangunan ‘bersendiri’ tetapi membantu mengatasi masalah di sekeliling,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya berharap dapat menjadikan Pekan Masai sebagai bandar baharu di kawasan Johor Baharu timur menerusi projek pembangunan berkenaan.

“Cadangan pelan adalah untuk kukuhkan pertumbuhan Masai, Pasir Gudang dan sekitarnya, namun tidak meminggirkan persekitaran. Kami harap dapat menjayakan projek ini dengan bantuan semua pihak dan masyarakat sekeliling,” katanya.