Johor Serah Pentadbiran Rumah Anak Yatim Johor

JOHOR BAHRU, 1 April – Kerajaan Johor sedia menyerahkan Rumah Anak Yatim Johor kepada kerajaan Aceh bagi mengurus tadbir bangunan berusia hampir 11 tahun itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday, berkata ia berikutan pusat itu hanya dihuni lima anak yatim mangsa tsunami, manakala tujuh lagi adalah penduduk kampung.

Aceh2Katanya, perbincangan sudah dilakukan dengan kerajaan Aceh dan Yayasan Anak Yatim Aceh berhubung hasrat menyerahkan bangunan terbabit.

“Sejak rumah berkenaan dibina pada tahun 2005, kerajaan negeri menguruskan kira-kira 50 anak yatim, membabitkan peruntukan RM25,000 setiap tahun termasuk kos utiliti dan keperluan makanan serta minuman.

“Rumah itu menyediakan 50 katil dan kini hanya mempunyai 12 penghuni dengan kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan kira-kira 80 juta rupiah (RM24,000) setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Sekolah Microsoft dan Duta Pelajar Microsoft, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, di sini, semalam.

Sebelum ini, Md Jais mengetuai lawatan kerja dua hari ke Acheh termasuk bagi meninjau keadaan Rumah Anak Yatim Johor dan mengadakan program tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata, kerajaan Acheh memohon tempoh sebulan bagi memuktamadkan status mengambil alih pentadbiran bangunan Rumah Anak Yatim Johor itu berikutan kekangan kewangan.

“Kita masih menunggu laporan rasmi yang akan dimaklumkan oleh pihak Acheh sama ada kerajaan negeri akan menghibahkan (menghadiahkan) bangunan dan tapak itu kepada Yayasan Anak Yatim Johor untuk diurus tadbir atau mentadbirnya sendiri,” katanya.

Md Jais berkata, Rumah Anak Yatim Johor itu dibina atas tajaan Badan Perhubungan UMNO Johor dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Anak Yatim Acheh pada tahun 2005 selepas tsunami di Acheh.