Gerak Kerja UMNO Johor Tumpu ‘Parlimen Fokus’

JOHOR BAHARU, 2 April – UMNO Johor sedang memberi tumpuan di lapan kawasan Parlimen di negeri ini dalam usaha meningkatkan sokongan terhadap parti dan Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Md Jais Sarday.

Beliau berkata lapan kawasan Parlimen terbabit dimenangi BN pada pilihan raya umum lepas, namun dengan majoriti undi tipis.

“Kawasan Parlimen itu termasuk Pasir Gudang, Tebrau, Labis, Muar, Batu Pahat dan Segamat. Keutamaan kita adalah melakukan gerak kerja di kawasan ‘Parlimen Fokus’ ini supaya dapat mengekalkan kemenangan (pada pilihan raya umum akan datang),” katanya.

Md Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Setiausaha Bahagian dan Setiausaha Kerja Bahagian UMNO Johor bersama-sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di sini malam tadi.

Katanya lapan kerusi itu daripada 26 kawasan Parlimen di Johor akan turut menjadi perhatian UMNO pusat.

Md Jais berkata setiap kawasan Parlimen itu mempunyai pelbagai isu dan masalah berbeza yang perlu diteliti sama ada dari segi pemilihan calon pilihan raya, bilangan pengundi, masalah parti komponen mahupun isu setempat.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, pada perjumpaan itu beliau diberikan taklimat mengenai perkembangan UMNO negeri.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak Johor kaedah yang kita (UMNO pusat) hendak lakukan untuk memastikan parti berjalan lancar. Saya juga menerima pelbagai maklum balas menerusi perjumpaan ini,” katanya.