Wanita UMNO Johor Teguh Pegang Kepada Prinsip Perjuangan Parti

KLUANG, 31 Mac – Wanita UMO Johor akan terus berpegang kepada prinsip berdiri atas nama parti untuk kepentingan agama, bangsa dan Negara, ujar Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain.

1e241733-cb4e-4084-9825-b46e1490745aJelasnya, pendirian Wanita khususnya di Johor masih utuh kerana roh perjuangan dan denyut nadi Wanita adalah tetap bersama UMNO.

“Kami Wanita sedar dan tahu, untuk jadi pemimpin bukan satu perkara yang senang. Di peringkat akar umbi pun bukan mudah menggalas jawatan sebagai ketua cawangan. Jadi kami tahu betapa susah Presiden parti nak menjaga semua cawangan UMNO.

“Oleh itu, Wanita akan terus membantu Presiden kerana kita mahu menangkan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Kerana itu juga Wanita sentiasa turun padang untuk menyakinkan rakyat bahawa kesenangan yang ada hari ini datangnya dari dasar-dasar yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN),” katanya kepada UMNO-Johor.

Tambah beliau menyedari bahawa hanya tinggal lebih kurang dua tahun untuk negara berhadapan dengan PRU ke-14, maka segala usaha gerak kerja telah dilipatgandakan terutamanya mendekati akar umbi.

“Kita sedar, negeri Johor memang menjadi idaman pembangkang malah menjadi kayu ukur kepada mereka. Sekiranya mereka berjaya menawan Johor itu bakal membuktikan bahawa pembangkang telah berjaya.

“Tetapi, hasil daripada turun padang, saya dapat menilai sebenarnya rakyat di negeri Johor ini tidak begitu kisah dengan isu atau permasalahan parti yang dibangkitkan. Mereka lebih mengutamakan kepada kemudahan dan cara untuk meningkatkan taraf hidup.

“Selain itu Wanita juga memberi tumpuan kepada daftar baru. Kita sudah mengenalpasti mereka yang layak untuk mengundi terutamanya di kalangan ahli UMNO sendiri,” terangnya lagi.

Apa yang penting tegasnya, semua jentera haruslah memberi fokus kepada PRU-14 dan jangan terpengaruh dengan sebarang agenda provokasi pembangkang untuk membecah-belahkan kemuafakatan ahli UMNO.